Wednesday, April 30, 2008

Berhibur secara matang tidak mengapa - Dr Asri (Mufti Perlis)

Jom Heboh di Perlis, Mufti hantar surat bantahan

Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis.

Kata Dr Asri, surat tersebut telah dihantar seminggu yang lalu menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut.

"Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan," katanya yang berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.

"Tetapi jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bantahan tersebut bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan seperti konsert yang ada antaranya mengajak masyarakat berhibur secara matang dan bukannya menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat.

"Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.

"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.

Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja.

Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap agar kerajaan baru ini dapat menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama.

"Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini dan beri peluang untuk mereka menanganinya," katanya.

Sebelum ini Dr Asri turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri bagi melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari tersebut untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok.

http://www.harakahdaily.net

Saturday, April 26, 2008

Ina Naim dapat anak lelaki

INA bersama Suhaimi kini sudah mempunyai cahaya mata.

GOMBAK - Penyanyi yang popular dengan lagu Duhai Hati, Ina Naim selamat melahirkan bayi lelaki seberat tiga kilogram di Gombak Medical Centre, Sri Gombak semalam.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Md. Naim, 24, melahirkan anak pertamanya itu pada 12.20 tengah hari dengan ditemani suami, Mohd. Suhaimi Saad, 27, dan ibu Ina, Norini Mansur, 46.

http://www.kosmo.com.my

Friday, April 25, 2008

Waheeda dah atur langkah berundur

GAMBAR terbaru Waheeda yang dirakamkan semalam.

PETALING JAYA - Penyanyi lagu rentak padang pasir, Waheeda mahu mengundur diri secara 'berperingkat - peringkat' daripada dunia seni bagi mendekatkan diri kepada aktiviti keagamaan.

Malah beliau juga mahu menjadikan bekas pelakon dan penyanyi terkenal era 1980-an, Norkumalasari sebagai contoh.

"Masanya semakin hampir untuk saya melupakan aktiviti seni seperti bidang lakonan mahupun nyanyian, saya mahu beri lebih masa untuk diri sendiri,'' katanya yang ditemui selepas sidang media sitkom 'Anak Mami' di Seri Pentas semalam.

Menurut Waheeda, kesibukan sepanjang penglibatannya dalam dunia seni menyebabkan beliau jarang ada masa untuk diri sendiri.

Thursday, April 24, 2008

Nasyid yang kuat pengaruh pop


Judul Album: Setia

Artis: Wildan

Konsep Muzik: Nasyid

Edaran: FMC Music Sdn. Bhd.

Komen: MUNGKIN Wildan dan Setia boleh dikategorikan sebagai sebuah kumpulan serta album nasyid. Daripada segi imej dan mesej lirik lagu dalam album ini yang berunsur ketuhanan menepati spesifikasi itu. Tetapi daripada segi alunan muzik yang ditampilkan ia bukanlah berunsurkan nasyid sepenuhnya.

Banyak instrumen bertali menyumbang kepada penghasilan lagu-lagu dalam album ini. Wildan tidak lagi bergantung kepada tabla, kompang dan gendang semata-mata. Pengaruh pop ketara pada setiap lagu. Paling mengujakan apabila ada sedikit suntikan elemen rap misalnya melalui lagu Kau Permata. Boleh dikatakan semua lagu berunsur perlahan sambil diselang-selikan dengan suara latar yang harmoni. Cuma setiap lagu kedengaran tidak mempunyai kekuatan melodi yang tersendiri. Kalau dihayati berulang kali pun ia masih juga susah untuk ‘melekat’ di telinga.

Tetapi Wildan patut mendapat pujian kerana anggota kumpulan ini seperti Zaidie yang banyak memuatkan lagu-lagu ciptaannya dalam album ini. Turut dimuatkan ialah sebuah lagu Inggeris berjudul New World of Islam. Juga sebuah lagu Arab berjudul Fir-Raudhah.

http://www.utusan.com.my

Makna Rintihan Zikrullah buat Asri

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

FIRMAN Allah dalam surah Ar-Ra'ad, ayat ke-28 menyebut: “Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

MAKNA yang terselit di dalam firman berkenaan mencetus niat vokalis utama kumpulan nasyid terkenal, Rabbani, Asri Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Asri menerbitkan album Rintihan Zikrullah.

Penerbitan yang dibuat secara usaha sama antara Islamic Media Entertainment (IME) dengan Rabbani Production (M) Sdn. Bhd., itu memuatkan 18 trek edaran Inteam Records dan mula menjengah pasaran tempatan pada 2 April lalu.

Pelbagai zikir yang menjadi amalan Rasulullah seperti Zikir - Lailahaillallah, Zikir - Allahu Ya Allah, Zikir - Subhanallah, Zikir - Doa Keamanan, Zikir - Hasbiallah, Zikir - Ilahi Ya Rabbi, Zikir - Ilahilastulil Firdaus dan Zikir Astaghfirullah dimuatkan dalam album berkenaan.

Menurut Ustaz Asri, album tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding album zikir terdahulu yang memuatkan kompilasi zikir, doa dan ayat suci Al-Quran bertajuk, Amalan Kekasih Allah.

Tidak mahu terikat dengan satu suasana zikir, dia memilih sendiri zikir-zikir yang seringkali menjadi ikutan dan melagukannya dengan cara tersendiri.

“Album ini memang istimewa sebab saya diberi kebebasan untuk memilih sendiri semua zikir yang hendak dimuatkan.

“Satu zikir yang saya rasa paling perlu saya muatkan ialah Zikir - Lailahaillallah. Zikir tersebut adalah sebagai memperingati arwah ayah saya yang telah meninggal dunia pada pertengahan tahun lalu,” kata Ustaz Asri ketika di temui baru-baru ini.

Cerita Ustaz Asri, zikir tersebut merupakan kenangan manisnya bersama arwah ayahnya, Haji Ibrahim Busro yang kembali ke rahmatullah pada usia 83 tahun iaitu pada 27 Mei tahun lalu.

“Arwah ayah saya selalu baca zikir tersebut setiap kali selesai solat fardu dan turut menjadi amalannya ketika bulan puasa. Jadi saya lagukan zikir dan rakamkan semula sama seperti cara arwah lagukan,” jelasnya.

Turut diselitkan ialah ayat Al-Quran yang merupakan sepotong ayat kegemarannya iaitu ayat 133 hingga 134 dari surah Ali Imran yang juga sering dijadikan sebagai bacaan permulaan dalam mana-mana tazkirah yang dikendalikannya.

Antara lain, turut dimuatkan ialah sebuah zikir berlagu, Munajat dan juga Doa.

Menerima tawaran daripada IME sekitar awal tahun ini, kata Ustaz Asri, paling kurang, kerjasama itu bakal menghasilkan lima buah album dengan konsep yang berlainan.

“Sekarang ni, kami telah mula mengumpul bahan-bahan untuk album kedua berjudul Inspirasi Pagi yang akan memuatkan beberapa bacaan pada waktu subuh termasuklah azan subuh, doa dan amalan ketika subuh,” katanya yang mengambil masa tiga malam untuk merakamkan album tersebut.

Tambah Ustaz Asri, dia yakin bahawa album Rintihan Zikrullah dapat memberi ketenangan dan berharap agar album tersebut dapat membantu dirinya dan sesiapa sahaja yang mendengar dalam menghafal dan mengamalkan zikir.

“Harapan saya album ini dapat memberi manfaat yang besar kepada peminat dan dapat menarik minat orang ramai untuk berzikir.

“Jika ada pahalanya merakamkan album ini, ingin saya hadiahkan pahala tersebut kepada arwah ayah saya,” katanya mengakhiri perbualan.

http://www.utusan.com.my

Sunday, April 20, 2008

Hafiz Hamidun Tewaskan Datuk Siti


KUANTAN, 19 APRIL 2008: Orang baru dalam industri muzik, Hafiz Hamidun dengan lagu ciptaan dan nyanyiannya, Kau Yang Satu merangkul 2 anugerah sekaligus menundukkan lagu Hati, nyanyian Datuk Siti Nurhaliza menerusi kategori Lagu Terbaik dalam Pertandingan Juara Kepada Juara (JKJ) yang belangsung di Auditorium Penyiaran RTM, di sini, malam tadi.

Hati, nyanyian Siti, susunan Sham Kamikaze itu juga tidak mampu mengatasi kumpulan Silent Scream untuk membawa pulang trofi Vokal Terbaik dan terpaksa akur dengan hanya memenangi satu kategori iaitu Susunan Muzik Terbaik.

Silent Scream dengan lagu Revolution pula menggondol 2 trofi menerusi Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik. Mereka

membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala penulis liriknya, John Oommen meraih RM3,000 serta trofi apabila menang kategori Lirik Terbaik.

Malam tadi Kau Yang Satu turut menyandang juara pada kategori Melodi Terbaik membolehkan Hafiz membawa pulang jumlah keseluruhan RM13,000.

Hafiz, 23, yang juga pengacara dan bekas ahli kumpulan nasyid UNIC, terharu kerana penyanyi yang membawa lagu berunsur nasihat atau nasyid turut dipandang tinggi oleh pencinta seni.

"Sebelum ini saya hanya dikenali oleh rakan di sekolah dan universiti. Hari ini kali pertama saya memegang anugerah untuk diri saya sendiri dan ingin terus mara ke depan.

"Saya yakin ramai di luar sana inginkan lagu-lagu yang berunsurkan nasihat. Saya mengharapkan pihak media dapat membantu saya dalam mempromosikan lagu-lagu nasyid seperti ini," katanya.

Selepas hampir 2 bulan menilai 1,500 lagu yang diterbit dan direkodkan diantara 1 Januari 2007 hingga 28 Februari 2008 hanya 5 finalis yang berjaya masuk ke pertandingan akhir.

Dari 5 lagu yang bersaing malam tadi hanya Izinku Pergi nyanyian Kaer, komposer Azlan Abu Hassan, lirik sulu Sarawak dan The Stage ciptaan Ash Nair sahaja terpaksa pulang tangan kosong.

Tidak seperti anugerah muzik lain, JKJ sebenarnya bertujuan untuk menghargai lagu yang benar-benar berkualiti dengan mengetepikan populariti artis yang menyanyi lagu tersebut.

JKJ yang diadakan buat kali pertama ini juga adalah bertujuan untuk memeriahkan lagi majlis yang digabungkan bersama
Anugerah Music Author's Copyright Protection (MACP). Mereka diadili oleh 4 juri profesional iaitu Adnan Abu Hassan, Ramli Imam, Nasser Abu Kasim, Professor Rahman Saari serta Fauzi Marzuki.

Majlis yang berlangsung selama 2 jam itu turut diserikan dengan persembahan seperti Ziana Zain, Ramlah Ram, Meet Uncle Hussein, Nassier Wahab, Noryn Aziz, Mohaizam, dan Alif Azfar.

Turut hadir sebagai penyampai hadiah ialah M Nasir, anggota Spider, Hattan, Fredo, Farah, Zubir Ali, Juwita Suwito, Noryn Aziz, Anne Ngasri dan Pak Ngah.

Mereka yang turut mendapat pengiktirafan berdasarkan sumbangan kepada industri adalah M Nasir, Manan Ngah dan Allahyarham Loloq. Rancangan itu disiarkan secara langsung menerusi RTM 1.

http://www.murai.com.my