Sunday, April 20, 2008

Hafiz Hamidun Tewaskan Datuk Siti


KUANTAN, 19 APRIL 2008: Orang baru dalam industri muzik, Hafiz Hamidun dengan lagu ciptaan dan nyanyiannya, Kau Yang Satu merangkul 2 anugerah sekaligus menundukkan lagu Hati, nyanyian Datuk Siti Nurhaliza menerusi kategori Lagu Terbaik dalam Pertandingan Juara Kepada Juara (JKJ) yang belangsung di Auditorium Penyiaran RTM, di sini, malam tadi.

Hati, nyanyian Siti, susunan Sham Kamikaze itu juga tidak mampu mengatasi kumpulan Silent Scream untuk membawa pulang trofi Vokal Terbaik dan terpaksa akur dengan hanya memenangi satu kategori iaitu Susunan Muzik Terbaik.

Silent Scream dengan lagu Revolution pula menggondol 2 trofi menerusi Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik. Mereka

membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala penulis liriknya, John Oommen meraih RM3,000 serta trofi apabila menang kategori Lirik Terbaik.

Malam tadi Kau Yang Satu turut menyandang juara pada kategori Melodi Terbaik membolehkan Hafiz membawa pulang jumlah keseluruhan RM13,000.

Hafiz, 23, yang juga pengacara dan bekas ahli kumpulan nasyid UNIC, terharu kerana penyanyi yang membawa lagu berunsur nasihat atau nasyid turut dipandang tinggi oleh pencinta seni.

"Sebelum ini saya hanya dikenali oleh rakan di sekolah dan universiti. Hari ini kali pertama saya memegang anugerah untuk diri saya sendiri dan ingin terus mara ke depan.

"Saya yakin ramai di luar sana inginkan lagu-lagu yang berunsurkan nasihat. Saya mengharapkan pihak media dapat membantu saya dalam mempromosikan lagu-lagu nasyid seperti ini," katanya.

Selepas hampir 2 bulan menilai 1,500 lagu yang diterbit dan direkodkan diantara 1 Januari 2007 hingga 28 Februari 2008 hanya 5 finalis yang berjaya masuk ke pertandingan akhir.

Dari 5 lagu yang bersaing malam tadi hanya Izinku Pergi nyanyian Kaer, komposer Azlan Abu Hassan, lirik sulu Sarawak dan The Stage ciptaan Ash Nair sahaja terpaksa pulang tangan kosong.

Tidak seperti anugerah muzik lain, JKJ sebenarnya bertujuan untuk menghargai lagu yang benar-benar berkualiti dengan mengetepikan populariti artis yang menyanyi lagu tersebut.

JKJ yang diadakan buat kali pertama ini juga adalah bertujuan untuk memeriahkan lagi majlis yang digabungkan bersama
Anugerah Music Author's Copyright Protection (MACP). Mereka diadili oleh 4 juri profesional iaitu Adnan Abu Hassan, Ramli Imam, Nasser Abu Kasim, Professor Rahman Saari serta Fauzi Marzuki.

Majlis yang berlangsung selama 2 jam itu turut diserikan dengan persembahan seperti Ziana Zain, Ramlah Ram, Meet Uncle Hussein, Nassier Wahab, Noryn Aziz, Mohaizam, dan Alif Azfar.

Turut hadir sebagai penyampai hadiah ialah M Nasir, anggota Spider, Hattan, Fredo, Farah, Zubir Ali, Juwita Suwito, Noryn Aziz, Anne Ngasri dan Pak Ngah.

Mereka yang turut mendapat pengiktirafan berdasarkan sumbangan kepada industri adalah M Nasir, Manan Ngah dan Allahyarham Loloq. Rancangan itu disiarkan secara langsung menerusi RTM 1.

http://www.murai.com.my