Thursday, April 24, 2008

Makna Rintihan Zikrullah buat Asri

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

FIRMAN Allah dalam surah Ar-Ra'ad, ayat ke-28 menyebut: “Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

MAKNA yang terselit di dalam firman berkenaan mencetus niat vokalis utama kumpulan nasyid terkenal, Rabbani, Asri Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Asri menerbitkan album Rintihan Zikrullah.

Penerbitan yang dibuat secara usaha sama antara Islamic Media Entertainment (IME) dengan Rabbani Production (M) Sdn. Bhd., itu memuatkan 18 trek edaran Inteam Records dan mula menjengah pasaran tempatan pada 2 April lalu.

Pelbagai zikir yang menjadi amalan Rasulullah seperti Zikir - Lailahaillallah, Zikir - Allahu Ya Allah, Zikir - Subhanallah, Zikir - Doa Keamanan, Zikir - Hasbiallah, Zikir - Ilahi Ya Rabbi, Zikir - Ilahilastulil Firdaus dan Zikir Astaghfirullah dimuatkan dalam album berkenaan.

Menurut Ustaz Asri, album tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding album zikir terdahulu yang memuatkan kompilasi zikir, doa dan ayat suci Al-Quran bertajuk, Amalan Kekasih Allah.

Tidak mahu terikat dengan satu suasana zikir, dia memilih sendiri zikir-zikir yang seringkali menjadi ikutan dan melagukannya dengan cara tersendiri.

“Album ini memang istimewa sebab saya diberi kebebasan untuk memilih sendiri semua zikir yang hendak dimuatkan.

“Satu zikir yang saya rasa paling perlu saya muatkan ialah Zikir - Lailahaillallah. Zikir tersebut adalah sebagai memperingati arwah ayah saya yang telah meninggal dunia pada pertengahan tahun lalu,” kata Ustaz Asri ketika di temui baru-baru ini.

Cerita Ustaz Asri, zikir tersebut merupakan kenangan manisnya bersama arwah ayahnya, Haji Ibrahim Busro yang kembali ke rahmatullah pada usia 83 tahun iaitu pada 27 Mei tahun lalu.

“Arwah ayah saya selalu baca zikir tersebut setiap kali selesai solat fardu dan turut menjadi amalannya ketika bulan puasa. Jadi saya lagukan zikir dan rakamkan semula sama seperti cara arwah lagukan,” jelasnya.

Turut diselitkan ialah ayat Al-Quran yang merupakan sepotong ayat kegemarannya iaitu ayat 133 hingga 134 dari surah Ali Imran yang juga sering dijadikan sebagai bacaan permulaan dalam mana-mana tazkirah yang dikendalikannya.

Antara lain, turut dimuatkan ialah sebuah zikir berlagu, Munajat dan juga Doa.

Menerima tawaran daripada IME sekitar awal tahun ini, kata Ustaz Asri, paling kurang, kerjasama itu bakal menghasilkan lima buah album dengan konsep yang berlainan.

“Sekarang ni, kami telah mula mengumpul bahan-bahan untuk album kedua berjudul Inspirasi Pagi yang akan memuatkan beberapa bacaan pada waktu subuh termasuklah azan subuh, doa dan amalan ketika subuh,” katanya yang mengambil masa tiga malam untuk merakamkan album tersebut.

Tambah Ustaz Asri, dia yakin bahawa album Rintihan Zikrullah dapat memberi ketenangan dan berharap agar album tersebut dapat membantu dirinya dan sesiapa sahaja yang mendengar dalam menghafal dan mengamalkan zikir.

“Harapan saya album ini dapat memberi manfaat yang besar kepada peminat dan dapat menarik minat orang ramai untuk berzikir.

“Jika ada pahalanya merakamkan album ini, ingin saya hadiahkan pahala tersebut kepada arwah ayah saya,” katanya mengakhiri perbualan.

http://www.utusan.com.my