Friday, March 28, 2008

Noor selesa tanpa glamor

DI awal penglibatannya sebagai artis sekitar awal tahun 70-an dulu, dia diramal mampu melangkah jauh dalam industri perfileman tanah air.

Selain daripada bakatnya yang menjadi perhatian, kejelitaan Noorkumalasari juga dilihat sebagai aset untuk mara dalam gelanggang hiburan ketika itu.

Sementelah juga, dia memulakan kariernya sebagai seorang model di tanah kelahirannya, Singapura, lalu tiada sebab dia mengecapi populariti yang cukup luar biasa sepanjang bergelar anak seni.

Namun, kini, bidang seni dan juga limpahan glamor sudah jauh ditinggalkan.

Malah, jika dipelawa untuk kembali aktif sebagai anak seni meskipun sudah berubah imej, dengan pantas anak kepada seniman, Allahyarham Datuk S.Roomai Noor dan seniwati Datin Umi Kalthum ini akan berkata tidak.

Bagaimanapun, Noorkumalasari atau nama sebenarnya, Noor Kumalasari Mohd. Taib tidak menolak seandainya jika ditawarkan untuk terlibat dalam sebarang rancangan berbentuk dakwah yang mampu menjana minda dan mendidik masyarakat khususnya remaja hari ini agar lebih menghargai hidup.

Mengakui dia bukanlah arif dalam segenap aspek berhubung hukum hakam, Noorkulamasari yang mesra disapa Noor memberitahu, selama menyepi dari dunia hiburan dia banyak menelaah ilmu agama menerusi pembacaan hadis dan Al-Quran.

“Seandainya ditawarkan untuk menerajui rancangan bual bicara ini, saya lebih selesa dan suka rancangan yang lebih santai namun dalam masa yang sama, mesej sampai kepada penonton.

“Kita perlu faham dengan kerenah remaja hari ini yang tidak berapa gemar dengan rancangan agama yang terlalu serius.

“Zaman sudah berubah dan selagi niat kita mahu mendidik dan memberikan pengajaran kepada masyarakat, pelbagai cara boleh dilakukannya,” kata Noor menyambung bicara.

Atas sebab itu juga, katanya, yang mula mencipta nama menerusi watak Rohayu dalam filem Menanti Hari Esok pada tahun 1977 itu, bersedia berkongsi pengalaman transisi hidupnya sejak mula menjadi artis sehinggalah ke kehidupannya hari ini menerusi rancangan Cerita Artis Malaysia (CAM) terbitan Firdaus Maju Sdn. Bhd. (FMSB).

Program yang diterbitkan dengan kerjasama Astro akan mula bersiaran pada 7 April depan menerusi saluran Ria (saluran 104, Astro).

“Saya anggap ini semua sebagai satu pendekatan yang lembut dalam berdakwah. Malah, apabila mereka datang kepada saya untuk memaparkan kisah hidup saya, dengan hati yang terbuka, saya merelakan kisah saya dibuka semula.

“Saya mahu apa yang telah terjadi dalam hidup saya dijadikan iktibar buat generasi muda hari ini. Seandainya mereka menonton kisah saya kelak, siapa tahu, mereka boleh berubah menjadi seorang yang lebih baik. Bukan untuk sesiapa, tetapi untuk diri mereka juga,” kata adik kepada penghibur tersohor, Anita Sarawak ini lagi.

Pengalaman

Noor yang juga seorang primadona filem Melayu satu ketika dulu ini juga dengan jujurnya memberitahu, dia tidak pernah menyesal dengan segala tindakannya sewaktu menjadi anak seni satu ketika dulu.

Malah, katanya, itu semua menjadi pengalaman manis yang akan tetap terpahat dalam lipatan sejarah hidupnya.

“Sewaktu menjadi artis dahulu, saya berasa begitu sunyi saat pulang ke rumah lewat pagi seusai persembahan mahupun penggambaran drama mahupun filem.

“Walaupun waktu itu saya akui sering meninggalkan solat, tetapi hati saya tidak pernah lupa kepada Allah.

“Apa yang mampu saya katakan kepadaNya adalah seandainya saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang mampu membimbing saya ke arah kebaikan, saya akan tinggalkan dunia seni dan menjadi seorang isteri solehah,” ceritanya mengenai perubahan hidupnya yang tampil dengan imej bertudung litup sejak 12 tahun lalu.

Namun begitu, wanita berusia 52 tahun ini menafikan suaminya, Wan Mohd. Yusof memaksanya tampil dengan imej bertudung litup itu.

“Dia tidak pernah memaksa saya tetapi semuanya datang dari hati. Sudah Allah tetapkan saya akan jadi begini. Suami saya banyak memberi galakan, dorongan dan nasihat untuk saya agar sentiasa ingat akan diri dan tidak terus alpa.

“Kalau hendak ikutkan, sewaktu kali pertama mengerjakan umrah, saya masih lagi tidak bertudung.

“Tetapi selepas lapan bulan pulang daripada menunaikan fardu haji pada tahun 1997, barulah hati saya terbuka untuk memakai tudung dan tampil dengan imej seperti hari ini. Saya memakai tudung bukan kerana sesiapa tetapi semuanya kerana Allah,” tutur Noor yang kali terakhir beraksi di layar lebar pada tahun 1992 menerusi filem Penghujung Malam penuh ramah.

Hasil perkahwinan keduanya bersama Wan Mohd. Yusof, 57, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Wan Amin Nurrasyid, 16, Wan Amni, 14, dan Wan Irfan Nurul Atiq, 12.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Allahyarham Roslan Onn, Noor mempunyai seorang anak lelaki, Abdul Qayyum yang kini sudah pun berusia 25 tahun.

Ditanya dengan soalan adakah dia kini sudah bergelar nenek, Noorkumalasari memberitahu: “Dia (Qayyum) ada juga bawa pulang kawan-kawan perempuannya dan diperkenalkan kepada saya. Tapi, entahlah, bila dia nak kahwin pun saya tak tahu (ketawa). Saya sendiri tidak pernah memaksanya.”

Berbicara mengenai anak sulungnya itu juga, tiba-tiba Noor sebak dan air mata mula bergenang di kelopak matanya sehingga menyebabkan seniwati itu yang mulanya cukup ramah melayan terpaksa berhenti seketika.

“Saya tidak pernah mengharapkan balasan daripada Qayyum terhadap apa yang telah saya lakukan kepadanya. Namun, apa yang menggembirakan saya untuknya ialah dia tahu menjaga diri dan berjaya mendapatkan pekerjaan untuk dia meneruskan kehidupannya.

“Suatu hari, dia datang kepada saya dan menghulurkan sekeping sampul surat. Apa yang mengejutkan saya, di dalamnya terkandung wang berjumlah RM1,000.

“Kata Qayyum itu adalah wang pertama untuk saya daripadanya hasil gaji pertamanya,” ceritanya tentang perihal anak bujang kesayangannya itu.

Cukup bahagia dan tenang dengan kehidupannya kini, sementelah suaminya juga baru bersara, Noor memberitahu, hidupnya kini terisi dengan keletah anak-anak dan menguruskan hal persekolahan mereka serta menghabiskan masa bersama suami.

“Alhamdulillah, mereka telah melengkapi hidup saya. Malah, hubungan kekeluargaan kami juga semakin erat dan saya amat bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini,” katanya yang juga pernah terkenal dengan watak Cikgu Sharina menerusi filem Adik Manja arahan Othman Hafsham pada tahun 1979.

Namun satu pintanya, seandainya dia sudah tiada lagi, dia memohon agar tiada pihak yang akan menayangkan drama dan filem lakonannya serta memainkan lagu-lagunya.

“Buat masa ini, saya tidak kisah jika ada pihak yang mahu menayangkan dan menyiarkan hasil kerja saya tetapi saya harap bila saya sudah tiada nanti, usah diteruskan lagi,” katanya penuh mengharap.

http://www.utusan.com.my