Saturday, March 15, 2008

Adikku Sayang makin matang

BERIKUTAN kejayaan album pertama mereka terjual melebihi 10,000 unit, kumpulan nasyid kanak-kanak, Adikku Sayang kini muncul dengan album terbaru, Zikir Fikir.

Dengan kelahiran album tersebut yang mempertaruhkan 10 buah lagu, kumpulan yang dianggotai lima orang sahabat ini membuktikan mereka masih mendapat tempat di hati peminat nasyid.

Biarpun sambutan masyarakat terhadap lagu-lagu nasyid tidak sehebat satu ketika dahulu, Adikku Sayang tetap positif dan memfokus kepada berdakwah daripada memikirkan soal keuntungan semata.

Adikku Sayang memiliki keunikan tersendiri yang jarang dimiliki oleh kumpulan nasyid lain.

Selain vokalis utama, Muhammad Faris Sohaimi, 13, empat ahli lain iaitu Mohd. Ilham Abdul Halim, 14, Nur Mohd. Aiman Abu Samah dan Abdul Luqman Abd. Razak, masing-masing 13 tahun serta Mohd. Fauzi Affandi, 12, bukan sahaja mampu mengalunkan irama nasyid tetapi berkebolehan dalam menyanyi sambil bermain peralatan perkusi.

Kebolehan yang dimiliki itu menjadikan Adikku Sayang cukup berbeza dan istimewa. Kerana kelebihan itu juga, Adikku Sayang mampu tampil dengan album kedua selepas album pertama dipasarkan dua tahun lalu.

Menyentuh mengenai Zikir Fikir, Mohd. Ilham selaku ketua Adikku Sayang berkata, album tersebut dihasilkan dengan lirik serta melodi yang lebih matang.

“Sesuai dengan peningkatan usia kami, Zikir Fikir memuatkan lagu-lagu berunsur pesanan yang disampaikan dalam bentuk santai. Ia amat bersesuaian dengan remaja dan kanak-kanak seusia kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Album Zikir Fikir antara lain menampilkan lagu-lagu seperti Al-Husaini, Indahnya Alam, Rasul Junjungan, Asma’ul Ambiya’ dan Guru Insan Mulia.

Menariknya, bagi memeriahkan lagi album terbaru itu, Adikku Sayang turut berduet dengan Nazrey Johani menerusi lagu 1,2,3 Sayang dan Syah Inteam (Senandung Anak Pejuang).

Adikku Sayang turut merakamkan semula lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Kasihnya Ibu.

Menurut Mohd. Ilham, melalui album kedua, Adikku Sayang banyak mendapat tunjuk ajar daripada Nazrey dan Syah Inteam.

“Mereka berpengalaman dalam nasyid dan pengalaman itu banyak dicurahkan kepada Adikku Sayang,’’ katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kelangsungan hayat artis berkumpulan, ada kalanya, sebahagian daripada mereka tidak kekal lama.

Walaupun segelintir yang masih terus ‘bernyawa’ sehingga kini, ahli-ahlinya pula sering bertukar ganti.

Namun begitu, bagi Adikku Sayang, mereka akan pastikan untuk bersama dalam menyampaikan dakwah menerusi irama nasyid.

“Jika diizinkan Allah, kami akan bersama sampai bila-bila,’’ jelas Mohd. Ilham secara ringkas.

Mengagumi Hassan Thornton

Selaku artis nasyid kanak-kanak yang mampu menyanyi sambil bermain peralatan perkusi, Adikku Sayang menjadikan Steve Hassan Thornton sebagai idola mereka.

Kehebatan Hassan bermain perkusi ketika mengiringi persembahan artis-artis terkemuka sememangnya memukau dan dikagumi ramai.

“Setiap daripada kami boleh bermain djembe, conga dan beberapa lagi peralatan perkusi.

“Di waktu lapang, kami akan meluangkan masa untuk berlatih agar mampu buat apa yang beliau (Hassan Thornton) lakukan,’’ kata Mohd. Ilham.

- http://www.utusan.com.my