Friday, January 11, 2008

Kumpulan nasyid anak didik Hazami

MASIH ramai pendatang baru yang menjengah ke pasaran muzik tempatan tampil dengan memperjuangkan irama nasyid biarpun irama itu dewasa ini kurang mendapat sambutan di kalangan peminat seni hiburan tanah air.

Tambah membanggakan, mereka yang tampil dengan genre muzik nasyid adalah di kalangan generasi muda yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi.

Terbaru ialah penampilan empat anak muda iaitu Mohd. Izwan Mohd. Musai (20), Muhammad Safwan Jahri (18), Wan Mohd. Taqiuddin (22) dan Muhammad Afiq Hamdan (20) yang mendapat inspirasi dari perkataan Inggeris; Network, Individual, Collaborated dan Exploration untuk menamakan gabungan mereka sebagai NICE.

Kumpulan yang bernaung di bawah syarikat Nazz Music Entertainment itu baru sahaja menghasilkan album sulung mereka berjudul NICE, Istimewa Tiada Dua.

Album tersebut diedarkan oleh EMI Music dan telah pun berada di pasaran sejak 8 Januari lalu.

Cuba memberikan kelainan berbanding kumpulan-kumpulan nasyid sedia ada, NICE menggabungkan genre muzik Pop, R&B dan Arab dalam album mereka.

Untuk itu, mereka mendapatkan khidmat dan tunjuk ajar daripada penyanyi dan guru vokal ternama iaitu Hazami yang juga merupakan komposer dan penerbit album NICE.

Anggota kumpulan NICE yang ditemui di pejabat Mega baru-baru ini berkata; “Ini adalah benda baru yang dibuat oleh Hazami dalam hidup dia. Sebab selalunya dia banyak buat lagu untuk pop dan balada tapi kali ini dia buat untuk nasyid pula.

“Hazami mencipta lagu Istimewa Tiada Dua lebih tujuh tahun lalu, jadi kami rasa bertuah sebab dapat merakamkan lagu tersebut,” kata Muhammad Safwan.

Bercerita tentang pengalaman bekerjasama dengan Hazami, Wan Mohd. Taqiuddin berkata:

“Kami seronok bekerjasama dengan dia (Hazami) kerana sepanjang bekerjasama, dia tahu apa yang kami boleh buat dan apa yang kami tak boleh buat.

“Dia juga tak pernah kedekut dengan ilmu yang dia ada malah banyak bagi tunjuk ajar pada kami,” katanya.

Bagi NICE, bekerjasama dengan penyanyi yang popular dengan lagu Sonata Musim Salji itu merupakan satu kelebihan kepada mereka untuk lebih dikenali di persada hiburan negara.

Biarpun baru, namun nama NICE bagaikan sudah mesra dengan peminat muzik tanah air. Malah, single mereka, Istimewa Tiada Dua seringkali diputarkan dicorong-corong radio tempatan.

Tambah membanggakan, NICE baru-baru ini berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik Ke-22 menerusi lagu hit mereka Istimewa Tiada Dua.

Walaupun gagal ke peringkat akhir, namun ia merupakan satu kejayaan besar dan cukup bermakna bagi NICE sebagai pendatang baru dalam industri hiburan.

- Utusan