Sunday, August 30, 2009

Raihan merayu diberi peluang

Raihan antara kumpulan nasyid tanah air yang berjaya mengharumkan nama di luar negara namun bukan sedikit cabaran yang mereka hadapi terutama dalam mencari tajaan untuk ke sana.

Apa yang membuatkan Raihan sangat terkilan ialah apabila tujuan murni mereka untuk memperkenalkan Malaysia menerusi nasyid di luar negara tidak mendapat sokongan syarikat korporat yang perniagaan mereka bertunjang Islam termasuk perbankan Islam.

Menurut seorang anggota kumpulan itu, Che Amran Idris, 40, kehadiran mereka di luar negara lebih dihargai masyarakat di sana berbanding di negara sendiri.

"Saya hairan kenapa syarikat ternama yang diterajui orang Islam tidak mahu memberi sokongan kepada kami sedangkan apa yang kami lakukan untuk mendidik ummah menuju ke jalan kebaikan dan diredai Allah Taala.

Kementerian yang menguruskan kesenian negara juga menganaktirikan kami.

"Setiap tahun mereka hantar wakil dalam pelbagai cabang seni untuk mempromosikan nama malaysia dan menyertai pertandingan di luar.

"Sekali pergi bukannya seorang dua, tetapi apabila Raihan minta sedikit tajaan, langsung tidak diendahkan. Dalam perkara ini kami tidak tahu di mana salah dan silapnya.

"Ketika Raihan membuat persembahan di Perancis sedikit masa lalu, saya perhatikan masyarakat di sana sangat menyokong pelbagai kumpulan nasyid luar negara yang bertandang.

"Kumpulan nasyid itu dihantar kerajaan masing-masing sedangkan kami macam pengemis hendak minta tajaan. Mereka meminati Raihan kerana budaya Melayu yang kami tonjolkan dan nasyid kami juga agak moden dan kontemporari.

"Kami menyanyi hanya diiringi gendang dan rebana, tetapi sambutannya amat luar biasa. Raihan boleh buat konsert besar di luar negara, tetapi sukar sekali untuk melakukannya di negara sendiri.

"Jika nasyid tempatan di sanjung tinggi oleh masyarakat luar, saya merayu berilah ruang baru kepada kami menyemarakkan irama itu di Malaysia.

"Meskipun begitu banyak halangan dan adakala terasa ingin berundur dari arena seni namun atas nama perjuangan, Insya-Allah kami akan teruskan.

"Bagaimanapun perjuangan kami itu hanya terbatas dengan apa yang kami ada.

"Paling buat saya terkilan orang kita begitu mengagungkan budaya dan orang luar yang kita tidak tahu asalnya sehingga diambil menjadi duta mewakili pelbagai produk tempatan. Kami kumpulan nasyid ini bagaikan melukut di tepi gantang," katanya.

Che Amran ditemui bersama dua lagi anggota kumpulan itu, Abu Bakar Md Yatim, 39, dan Zulfadli Mustaza, 25, selepas pembukaan Bufet Ramadan Sajian Arab dan Cina Muslim di Kelana Sentral, Kelana Jaya, Rabu lalu.

Seorang lagi anggota kumpulan itu, Amran Ibrahim, 38, tidak turut serta kerana menjaga bapanya yang uzur di kampung.

Tambah Che Amran, sudah 13 tahun Raihan berada dalam arus perdana persada seni tanah air namun daripada pengalaman, irama nasyid hanya dipandang sebelah mata.

"Tengok saja masalah remaja hari ini yang semakin sukar dibendung. Sepatutnya nasyid yang sarat dengan unsur nasihat dan dakwah dijadikan santapan rohani anak-anak dan bukannya irama yang ada sekarang seperti hip hop dan black metal yang didatangkan dari Barat.

"Negara sudah merdeka, tetapi pemikiran dan budaya kita masih dijajah. Didiklah anak-anak mengenali asal-usul, budaya dan agama mereka menerusi nasyid sejak mereka masih berada di bangku sekolah sehingga menuntut di pusat pengajian tinggi," katanya.

Abu Bakar mencelah rakan Che Am yang pernah menuntut satu universiti dengannya sudah berjaya mencapai kedudukan tinggi dalam kerjaya masing-masing namun Che Am masih begitu juga.

"Bukan Che Am tidak boleh mencari kerja tetap berpendapatan lumayan, tetapi kecintaannya terhadap nasyid sukar dikikis. Tetapi jika suatu hari nanti keadaan tidak berubah mungkin Raihan akan dibubarkan juga dan masing-masing mencari kerja tetap," katanya.

Pada hari raya ketiga kumpulan akan terbang ke Leicester, London untuk membuat persembahan di sana.

"Kami dijadualkan membuat persembahan tiga hari (24 hingga 26 September) di sana anjuran Persatuan Muslim Leicester dengan kerjasama Islamic Relief.

"Sebelum ini Raihan juga mendapat undangan ke Indonesia, Ivory Coast, Bosnia Herzegovina, Russia dan Thailand, tetapi terpaksa ditolak kerana tiada penaja.

"Di Bosnia dan Ivory Coast misalnya, kumpulan nasyid dari merata negara dijemput membuat persembahan sama yang dibiayai negara masing-masing. Kali ini mujurlah Air Asia X sudi menaja pemergian kami ke London," katanya.

Menjelas keadaan mereka yang dikatakan agak kerap menghiburkan masyarakat luar daripada orang sendiri, jelas Abu Bakar, jemputan membuat persembahan di tempat sendiri adakala datang bermusim.

Jadi apabila tiada undangan dari penganjur tempatan mereka mengambil kesempatan itu menerima jemputan persembahan di luar negara.

Ramadan ini rezeki Raihan murah apabila pemaju Kelana Sentral melantik Raihan Event Management (M) Sdn Bhd mengendalikan acara di situ dalam rangka untuk mempromosikan tempat berkenaan.

Abu Bakar berkata, Kelana Sentral akan dijadikan pusat perniagaan sederhana berbentuk berkonsep hab Muslim setempat.

Sempena pembukaan pusat itu, ruang legar yang luas itu dijadikan ruang berbuka puasa yang dihiasi suasana Arab dan Cina Muslim 'laluan sutera.'

Makanan Arab dan Cina Muslim menjadi juadah utama disediakan chef antarabangsa berpengalaman.

"Berkonsepkan berbuka, berhibur dan bersolat Tarawih bersama artis jemputan, pengunjung tidak perlu risau untuk membawa keluarga atau rakan taulan berbuka di sini kerana ada surau yang luas dan selesa, berimamkan artis nasyid tanah air dan imam dari Arab Saudi.

":Dengan itu pengunjung dapat menyempurnakan urusan Ramadan di sini. Di samping Raihan membuat persembahan tetap di sini, kami turut mengundang kumpulan nasyid lain secara bergilir termasuk Rabbani, Hijjaz, Inteam dan Saujana," katanya.

Harga makanan selerak untuk dewasa, RM35 dan kanak-kanak, RM20.

Dalam perkembangan lain, Raihan baru saja merakamkan lagu single terbaru hafalan, Doa Niat Puasa.

"Lagu itu bacaan niat puasa yang dilagukan supaya mudah dihafal kaum Muslimin. Ia dirakamkan bagi memudahkan pendengar menghafal niat untuk menunaikan ibadah puasa dengan sempurna.

"Kami pernah merakamkan lagu sama pada 2007, tetapi lagu versi itu digabungkan suasana berpuasa dan hari raya. Rakaman terbaru ini versi penuh doa niat puasa dan berkaitan Ramadan saja. Lagu ini ditulis Che Amran manakala melodi oleh saya sendiri.

"Untuk lagu hari raya pula Raihan masih dalam rakaman berkolaborasi dengan kumpulan Hujan berjudul Salam Aidilfitri Ayah Bonda ciptaan dan lirik oleh saya juga," katanya. - Mymetro

Saturday, August 22, 2009

TV3 terbitkan program “Ustaz Asri Dalam Kenangan”

PEMERGIAN Mohd Asri Ibrahim atau mesra disapa Ustaz Asri meninggalkan kesan yang mendalam di dalam industri muzik tanah air.

Perjuangan Ustaz Asri di dalam kumpulan Rabbani yang mula ditubuhkan pada 1 Mac 1997 berjaya mendapat sambutan peminat dengan aluan zikir dan menyebarkan dakwah melalui irama nasyid yang diperjuangkan.

Sebagai mengenang perjuangan Allahyarham, TV3 menerbitkan program “Ustaz Asri Dalam Kenangan” selama satu jam pada hari Jumaat, 21 Ogos 2009, jam 6.00 petang.

Program ini akan memaparkan kompilasi persembahan kumpulan Rabbani di konsert-konsert yang pernah dirakamkan oleh TV3 sewaktu Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1428H (2007) & Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1430H (2009) termasuk persembahan duet kumpulan Rabbani bersama artis tanah air iaitu Dato’ Siti Nurhaliza, Amy Search dan Mawi.

Penonton juga akan dapat menyaksikan sedutan visual sewaktu pengkebumian Allahyarham serta wawancara bersama ahli Rabbani yang lain.

Di samping itu, penonton di rumah boleh menghantar ucapan takziah yang akan dipaparkan melalui 'crawler' ketika program ini disiarkan. - Mstar

Friday, August 21, 2009

Zul ganti tempat Ustaz Asri

PEMERGIAN Allayarham Ustaz Asri Ibrahim secara mengejut pada 14 Ogos lepas merupakan kehilangan besar kepada industri muzik, terutamanya irama nasyid tanah air.

Di kalangan rakan artis, beliau amat disenangi dan disayangi kerana sifatnya yang luhur budi pekerti - baik dari segi percakapan dan perlakuannya.

Pemergian Asri juga turut meninggalkan tanda tanya siapakah yang mampu menggantikan tempat arwah sebagai vokalis kumpulan Rabbani selepas ini.

Namun, persoalan itu terjawab apabila salah seorang anggota kumpulan itu, Azadan berkata, tugas arwah akan digantikan oleh seorang lagi ahli kumpulan tersebut iaitu Zulkifli Azman atau Zul.

Menurut Azadan, mereka sudahpun mengadakan perbincangan dan bersetuju untuk melantik Zul memikul tanggungjawab besar itu.

"Kami (Rabbani) sudah berbincang mengenai perkara itu dan telah bersetuju Zul akan mengantikan tempat arwah Ustaz Asri.

"Sebenarnya sehari sebelum Ustaz Asri meninggal dunia, beliau ada memberitahu yang Zul memang boleh menyanyi dan mampu mengantikanya.

"Dia mempunyai suara yang baik, cuma Zul ni seorang yang pemalu sikit," kata Azadan yang ditemui pada majlis tahlil arwah dan doa selamat sempena Ramadan yang diadakan di Sri Pentas, semalam (Khamis).

Rabbani akan meneruskan semua persembahan mereka yang telah dijadualkan antaranya ialah perasmian Bazar Ramadan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kampung Baru pada 1 Ramadan iaitu Sabtu ini dan persembahan di Hotel Singgahsana yang akan berlangsung dari 4 hingga 27 Ramadan.

Azadan juga menjelaskan dia pernah bertanya kepada ayah Asri apa sebenarnya menyebabkan arwah menjadi seorang yang cukup istimewa.

"Ayah Ustaz Asri ketika itu kata, ketika mak (Ustaz Asri) sedang mengandungkannya... mak arwah pernah mimpi bulan jatuh ke riba.

"Saya pun terus bertanya kepada ayah arwah apa maksud mimpi tersebut, beliau beritahu waktu itu kalau dirujuk dengan ustaz-ustaz di zaman beliau, itu memang suatu petanda yang baik," kata Azadan.

Bukan sahaja terkenal dengan sikap ceria dan tidak pernah bercakap dan berkelakuan kasar malah menurut Azadan lagi, Asri seorang yang bersikap pemurah.

"Ustaz Asri seorang yang pemurah dan suka belanja makan.

"Tidak pernah kami makan dengan dia dan bayar sendiri-sendiri. Memang Ustaz Asri yang akan bayar," kata ahli kumpulan Rabbani berusia 36 tahun itu.

Selain itu sepanjang bersama Asri dalam Rabbani, Azadan menjelaskan arwah seorang yang tidak pernah marah dan adalah sesuatu yang pelik seandainya perkara itu berlaku.

"Sejak kami mengenali beliau, Ustaz Asri memang tidak pernah menunjukkan perasaan marah terhadap kami.

"Kami akui memanglah kami mempunyai anggota yang ramai dan kalau ramai mesti banyak 'kepala', tetapi Ustaz Asri dapat mengatasi semua masalah itu kerana beliau menekankan ukhwah persahabatan.

"Sebelum nak buat apa-apa keputusan, dia akan pastikan di kalangan ahli rabbani tidak ada perselisihan.

"Siapa yang pernah kena marah dengan Ustaz Asri memang ajaiblah," katanya sambil tersenyum mengenangkan saat-saat manis mereka bersama. - Mstar

Sunday, August 16, 2009

Akhil - Waheeda selamat diijabkabul

HULU SELANGOR: Setelah dua tahun membiarkan banyak pihak membuat spekulasi dan berteka-teki tentang hubungan mereka, penyanyi serta penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi popular Waheeda, 30, akhirnya telah selamat diijabkabulkan di Masjid Ar Rahimah, Kuala Kubu Baru, hari ini.

Hanya dengan sekali lafaz, Akhil atau nama sebenarnya, Akhil Abdul Hayy sah bergelar suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu pada majlis pernikahan mereka yang dihadiri oleh kira-kira 200 tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Turut hadir ialah dua anak Akhil iaitu Siti Nur Maisarah, 12 dan Mohd Syarif Idayatullah, 11.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Ustaz Zulhairi Jaid sekitar pukul 12 tengah hari. Pada majlis itu, Waheeda menerima mas kahwin berjumlah RM 80 serta tujuh dulang hantaran berbalas 11 dulang oleh pihaknya.

Tiada wang hantaran diberikan, sebaliknya Waheeda dan ibubapanya hanya meminta senaskhah Al-Quran daripada pihak lelaki.

Akhil yang ditemui sejurus selepas majlis pernikahan itu melahirkan rasa syukur dan berharap perkahwinan ini mampu menjadi penutup kepada segala kontroversi yang melanda dirinya dan Waheeda selama ini.

"Jodoh dan pertemuan adalah urusan Allah. Sebelum ini pun, terlalu ramai yang bertanya bila kami akan berkahwin. Jadi hari ini, kami buktikan dan berharap ia dapat menutup segala spekulasi.

"Selebihnya, terserahlah kepada masyarakat kerana manusia boleh bercakap apa saja. Apa yang boleh saya katakan, ini bukan secara kebetulan dan bukan juga satu perancangan sangat pun.

"Sebelum ini, memang saya bercakap pada media bahawa saya senang dengan Waheeda. Cuma, untuk menggerakkannya ke arah itu (cinta), saya hanya serahkan kepada Allah.

"Tetapi, mustahil lah perkahwinan ini terjadi kalau bukan kerana cinta. Allah bukakan hati saya untuk menerima Waheeda dan dia ditakdirkan menjadi isteri saya.

"Insya-allah, saya akan cuba sebaik mungkin untuk membimbing Waheeda dan anak-anak," kata Akhil.

Menurutnya lagi, jika mengikut perancangan awal, dia ingin melangsungkan pernikahan pada 21 Ogos.

"Jika ikutkan, saya rancang untuk bernikah pada 21 Ogos, malam sebelum Ramadan dan semua tetamu boleh bersembahyang Tarawih bersama-sama.

"Tetapi bila melihat tarikh 16 Ogos ini lebih memudahkan keluarga dan saudara-mara lain untuk datang, jadi kami pilih saja tarikh hari ini," ujarnya.

Kontroversi yang melanda mereka berlarutan sejak dua tahun lalu apabila mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab menjadi isteri kedua Akhil. Ketika itu, masing-masing menafikan tentang perkara tersebut dan menegaskan mereka hanya berkawan baik.

Namun, kisah itu semakin panas sekitar Mei lalu apabila isteri Akhil, Maizawati Zainal mengaku tentang pergolakan rumahtangga mereka dan Waheeda turut dikaitkan sebagai punca tersebut.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan Waheeda ketika itu kerana katanya, Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusimedia.

Maizawati kemudiannya mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru. Dia dan Akhil akhirnya sah bercerai dengan talak satu pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

Menerusi perkahwinannya dengan Maiza, mereka dikurniakan empat orang anak.

Ditanya sama ada bekas isterinya itu turut mengetahui tentang perkahwinannya dengan Waheeda, kata Akhil:

"Saya tidak mahu komen. Dia tidak ada kena-mengena."

Dalam pada itu, Waheeda juga melahirkan rasa syukur kerana telah sah bergelar isteri setelah hebat dilanda kontroversi selama ini.

"Saya tidak mahu bercakap tentang kontroversi. Bagi saya, lebih banyak benda lain yang patut difikirkan. Saya mengambil nasihat Dr.Fadzilah Kamsah yang pernah cakap pada saya, cabaran yang dilalui sebenarnya akan diberikan ganjaran yang besar kelak.

"Perkahwinan ini juga adalah untuk merapatkan hubungan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Kami juga tidak akan pergi berbulan madu, tetapi akan menggunakan masa yang ada untuk melawat saudara-mara.

"Saya juga telah bersara dari dunia seni dan ingin memberikan tumpuan pada suami dan anak-anak," kata Waheeda yang juga bersedia untuk menimang cahayamata sendiri jika dikurniakan rezeki.

Ditanya mengapa pihaknya hanya meminta senaskhah Al-Quran sebagai pengganti wang hantaran, ujar Waheeda, dia berpendapat perkara itu lebih afdal kerana Al-Quran adalah pelengkap segala-galanya.

"Ini memang permintaan bapa saya juga. Lagipun, saya tidak mahu perkahwinan ini membebankan sesiapa. Malah, saya dan Akhil memang sentiasa berpegang kepada Al-Quran dalam kehidupan," katanya yang juga menafikan majlis itu dibuat secara 'rahsia'.

"Majlis ini dibuat di sini kerana kawan Akhil ingin menikahkan kami sendiri. Kami juga tidak merahsiakan perkahwinan ini dari media kerana kami turut menjemput rakan-rakan media yang rapat dengan kami.

"Lagipun, keluarga dan saudara-mara di sebelah saya dan Akhil ramai yang hadir hari ini. Insya-allah, kami akan adakan sebuah resepsi pada 31 Oktober nanti di Dewan Bukit Jelutong, Shah Alam dan akan jemput lebih ramai tetamu," katanya.

Sebuah lagi resepsi di Gopeng, Perak juga akan dibuat seminggu kemudiannya. - Mstar

Friday, August 14, 2009

Asri Rabbani Selamat Dikebumikan

Haliza terkilan tidak dapat peluk erat Ustaz Asri pada saat akhir

PERGI tak kembali... meratapi pemergian arwah Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, yang telah meninggalkan kita untuk selamanya. Suatu kehilangan yang besar buat kita semua dan pastinya yang amat meratapinya adalah isteri arwah, Haliza Shahadan, yang paling rapat dengannya.

Haliza yang ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, menceritakan detik-detiknya bersama suami tercinta pada pagi sebelum arwah meninggal.

"Saya mulanya tak percaya... Yelah, arwah meninggal pada pukul 11.05 pagi, pukul 10 pagi tu saya masih bersama dia. Masa tu dia memang nampak tak sihat, dia pun ada kata dia pening-pening.

"Arwah ada sakit gastrik, kencing manis dan gout, pagi tu dia cuma minum air madu dengan limau... Lepas tu dia ada muntah-muntah.

"Saya suruh dia berehat dulu... Tapi dia komited dengan kerja dan dia nak jugak pergi kerja.

"Bila dia dah keluar, dia sampai kat stesen minyak Mobil, dia telefon saya dia kata: "Ummi, tolong hantar Abi kat pejabat lah, Abi tak larat."

"Saya kata saya tak kisah, jadi saya pun memandu sampai ke Mobil tu, lepas itu bawa kereta dia dan hantar dia sampai ke pejabatnya di Bukit Sentosa. Lepas tu dia ada singgah di Shell, dia masuk bilik air, lama jugak dia kat dalam tu, jadi saya pun pergi ketuk tanya dia ok ke tidak?, dia kata dia ok.

"Bila dia keluar dari tandas tu, dia suruh Azadan ambil barang-barang dia masukkan dalam van. Masa tu jelah saya sempat tengok wajah dia dan tak ada apa-apa berlaku ketika itu," kata Haliza.

Namun, kesedihan Haliza tidak berakhir di situ sahaja, dia turut menceritakan kenangan manis antaranya dengan arwah pada malam sebelum arwah meninggal ketika mereka menghabiskan masa bersama berdua.

"Sebelum ni, dia selalu sibuk dan tak ada masa, tapi malam semalam dia 'call' saya dia kata" Abi dah on the way balik, kita makan kat luar jom?." Saya pun kata: "Ok lah, Ummi pun lapar..."

"Masa tu dia kata: "Mintak apa saja". Jadi kami pun makan di kedai, lepas balik makan malam tu, kami 'spend time' tengok tv bersama... Malam tu 'nice' sangat," kata Haliza dalam keadaan senyum namun masih ada kesedihan diraut wajahnya.

Meskipun mempunyai waktu untuk bersama suami yang dicintainya, namun Haliza menyatakan dia masih rasa terkilan kerana tidak dapat memeluk suaminya itu dengan erat seperti biasa yang dilakukannya.

"Apa yang membuatkan saya terkilan adalah sebab saya tak dapat peluk dia dengan erat pada saat-saat akhir. Selalunya memang kami mesra, selalu saya akan cium tangan dan peluk dia dengan erat.

"Cuma malam tu saya tahu dia penat, jadi saya cuma salam tangan dan cium pipi dia je," jelas Haliza yang mula menitiskan air mata.

Haliza turut menceritakan pengorbanan arwah yang sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk bulan madu mereka semasa mengerjakan umrah selepas 16 tahun berkahwin.

"Saya tak sangka dia sanggup bayar beribu-ribu ringgit untuk satu bilik sebab nak berbulan madu semasa mengerjakan umrah.

"Bagaimanapun kami gembira sebab dapat berbulan madu dan mengerjakan umrah bersama," katanya.

Diajukan soalan sama ada Haliza mempunyai perasaan cemburu sepanjang bersama suaminya, dia mengatakan dia sentiasa cemburu namun bersebab kerana ingin menjaga suaminya itu dengan baik dan mahu suaminya menjadi seorang ikon yang dihormati orang ramai.

"Cemburu saya bersebab, supaya dia menjadi ikon yang dihormati, saya tidak mahu suami saya jadi orang yang lupa daratan, sebab tu saya jaga dia sungguh-sungguh, bukan kerana cemburu tak tentu pasal tetapi saya nak orang hormat dia sebagai seorang ustaz yang baik, saya tidak mahu ada orang yang cakap belakang pasal sikap dia.

"Tapi kita hanya manusia biasa, kita tak tahu apa yang Allah aturkan untuk kita. Kita tiada kelebihan untuk mengetahui hari esok, kalau kita tahu hari esok, pasti kita akan lebih bersedia.

"Sebab itu, kita kena menyintai seseorang dengan sepenuh hati kita, tak kira anak ke, suami ke kita kena cinta dengan sepenuh hati.

"Untuk arwah, saya memang cintakan dia sungguh-sungguh, sebab saya takut dia terpesong dalam dunia artis yang berbagai-bagai karenah ni," jelas Haliza yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinannya bersama arwah Ustaz Asri.

Bagaimanapun Haliza bersyukur terhadap Allah s.w.t kerana memberinya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangganya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur terhadap Allah kerana memberi saya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangga kerana ustaz sendiri banyak menghabiskan masa di luar dan selama itu saya sudah mula berdikari.

"Tapi lepas ini saya masih tidak tahu kerana saya hanya berserah pada keadaan dan ketentuan Allah," katanya.

Sempat ditemui ketika itu adik kepada Ustaz Asri, Ustaz Ghazali Ibrahim yang tidak menyangka abangnya akan pergi dengan begitu cepat dan mengatakan Ustaz Asri antara yang begitu rapat dengannya.

"Saya begitu tak sangka, pagi tadi sewaktu sedang memberi ceramah, saya ada menerima panggilan masuk, tapi tidak menjawabnya, bila selesai ceramah, saya baca mesej yang mengatakan abang saya pengsan.

"Tak lama lepas tu, saya terima panggilan mengatakan abang saya dah meninggal dunia. Arwah antara yang paling rapat dengan saya, saya tidak tahu dia ada sebarang penyakit melainkan gout dan kencing manis.

"Kali terakhir saya jumpa dia sebulan yang lalu, tapi empat atau lima hari lepas saya ada bercakap telefon dengannya, pada masa tu saya dengar suara dia macam tak berapa sihat, saya ingat mungkin dia letih dan tidak bertanya banyak pada masa itu.

Pastinya pemergian Ustaz Asri merupakan satu kehilangan yang besar buat keluarganya, ahli kumpulan Rabbani, sahabat handainya dan semua yang mengenalinya.

Perginya tidak kembali lagi dan pasti sukar untuk dicari pengganti buat arwah Ustaz Asri yang selama ini memperjuangkan irama nasyid sehingga ke akhir hayatnya. - Mstar

Thursday, August 13, 2009

Jenazah Ustaz Asri Rabbani dikebumi selepas Maghrib


PETALING JAYA: Jenazah Ustaz Asri dimaklumkan akan dikebumikan selepas Maghrib bagi memberi peluang kepada keluarga mertuanya yang datang dari Johor memberikan penghormatan terakhir buat arwah.

Jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam.

Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Menurut salah seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Balu arwah, Haliza Shahadan hadir di hospital beserta dengan beberapa rakan artis seperti penyanyi Nash, Yasin Sulaiman dan Mas Omar.

Selain itu, lebih 100 orang melibatkan rakan terdekat dan ahli keluarga arwah turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Dua hari lalu, Asri bersama anggota Rabbani yang lain menghadiri majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.

Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan 'Citarasa Ramadan 1 Malaysia' bermula 1 Ramadan nanti.

Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan 'live' mereka.

Dalam sidang media itu, Asri berkata mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana merupakan satu ibadah bagi dirinya.

"Saya rasa ibadah puasa saya tidak lengkap jika tidak mengadakan persembahan di hotel ini. Orang kata bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja, banyakkan ibadah, tetapi pada saya ini merupakan ibadah saya," katanya.

Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.

Selain seorang balu, Haliza, 38, arwah turut meninggalkan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.

Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Sebelum Rabbani, kumpulan itu dikenali sebagai Nada Murni yang ditubuhkan sekitar tahun 80-an.

Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu 'Saksi' dan 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' nyanyian bersama Amy Search.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani dan industri muzik nasyid.

Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapab tahun berturut-turut.

Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).

Revolusi muzik nasyid yang dilalui Rabbani selama berjuang dalam industri hiburan seringkali mencetus pelbagai perdebatan.

Ada yang berpendapat, lagu-lagu nasyid nyanyian Rabbani tersasar daripada landasan muzik nasyid yang sedia ada.

Sebelum ini, kumpulan ini pernah merakamkan lagu Pergi Tak Kembali ciptaan KRU berteraskan genre pop yang mendakwa Rabbani seperti meminggirkan objektif utama lagu nasyid.

Namun,kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini tampil dengan konsep yang tersendiri.

Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana… Ke Mana…' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.

Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini.

Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.

Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah.

Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.

Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.

Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.

Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.

Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan. - Mstar

Waheeda: Sukar cari suara seperti Ustaz Asri

PEMERGIAN vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim ke Rahmatullah pagi tadi, akibat serangan jantung nyata mengejutkan penggiat-penggiat seni tempatan.

Kehilangannya bukan saja dirasai oleh ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan para peminatnya, namun ia turut meninggalkan impak buat rakan-rakan artis yang banyak bekerjasama dengannya selama ini.

Tidak ketinggalan penyanyi yang popular dengan lagu Wassini, Waheeda yang akui cukup terkejut tatkala mendapat perkhabaran tentang kematian Allahyarham.

Bagi penyanyi berusia 30 tahun ini, banyak memori yang masih tersimpan kemas di dalam kotak fikirannya tentang Allahyarham.

"Sejak saya mula terbabit di dalam bidang seni kira-kira tujuh tahun lalu, arwah dan ahli-ahli Rabbani yang lain adalah antara rakan artis terawal yang saya kenal.

"Rasa sangat tenang bila bercakap dengan dia apatah lagi arwah adalah seorang yang suka tersenyum.

"Saya sudah menganggapnya sebagai seorang abang. Jika orang yang tidak mengenali arwah, pasti merasakan dia seorang yang serius. Tetapi, sebenarnya dia suka mengusik dan memang kelakar," kata Waheeda, dalam nada perlahan.

Menurutnya, secara peribadi, selain mengagumi peribadi Asri, dia juga merasakan kelunakan suara arwah sememangnya sukar ditandingi.

"Sama ada menyanyi atau bertakbir sekali pun, suaranya memang hebat. Sukar untuk mencari orang yang seperti ini. Tapi, ajal maut di tangan tuhan...akhirnya kita akan kembali kepada-Nya," tutur Waheeda.

Ujarnya lagi, walaupun dia mungkin tidak begitu rapat dengan Allahyarham, namun, dia akui, arwah adalah seorang yang mesra dengan sesiapa saja.

"Apa saja majlis yang mereka (Rabbani) buat, pasti saya dan rakan-rakan nasyid lain turut dijemput. Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah ketika sama-sama buat persembahan di Tanjung Bidara," katanya. - Mstar

Akhil: Ustaz Asri ibarat mutiara indah yang sukar dicari

DUA hari lalu, vokalis Rabbani, Ustaz Asri yang meninggal dunia pada hari ini mengakui dia pernah menasihati sahabat baiknya, penceramah dan penyanyi Akhil Hayy yang dilanda begitu banyak kontroversi di dalam rumah tangganya hingga membawa kepada penceraian.

Lantas, mStar Online sempat mendapatkan Akhil yang popular dengan gelaran ustaz rock itu tentang komennya sepanjang setahun mengenali rapat dengan arwah Asri.

Menurut Akhil, dia agak sedih dan terkejut apabila mendapat tahu tentang pemergian Asri pada pagi tadi.

“Saya berasa sedih sebab Ustaz Asri ibarat suatu mutiara indah yang sukar dicari dari segi dakwah dan keseniannya.

“Susah nak cari orang sepertinya yang sentiasa melakukan persembahan seni yang ‘perfect’ dari segi penyampaian vokal dan kerja seni.

“Sebab itu Allah mengambilnya terlebih awal (pada usia 40 tahun) kerana Allah sayangkan dia yang bersih.

“Biasalah, orang hebat sepertinya Allah akan ambil cepat,” luah Akhil yang turut melawat jenazah arwah Asri di Hospital Pantai, Bangsar.

Akhil juga menganggap Asri sebagai seorang yang mempunyai pertalian yang baik dengan Allah dan manusia.

“Dia (Asri) dah sampaikan apa yang patut disampaikan. Jadi, Allah ambil dia dalam keadaan yang bersih,” kata Akhil

Akhil turut ditanya tentang nasihat yang pernah diberikan oleh Asri sepanjang dia dilanda kontroversi penceraian sebelum ini.

“Sebagai kawan, dia banyak tenteramkan dan tenangkan saya. Dia seorang sahabat yang baik dan tak pernah menimbulkan apa-apa masalah dengan saya,” ujar Akhil yang pernah berduet menerusi lagu ‘Sesungguhnya’ dengan Asri dan Mawi.

Akhil juga sempat berkongsi tentang momen yang masih diingatinya sehingga kini yang seolah-olah memberikan petanda arwah akan ‘pergi’.

“Tiga hari lepas, dia bagaikan memberi satu tanda kepada saya yang dia akan pergi semasa kami sama-sama melakukan pengambaran rakaman takbir raya di Masjid Al-Falah, Petaling Jaya untuk Astro Oasis.

“Dia mengetuai bacaan takbir itu dan duduk disebelah saya dan Ustaz Dzulkarnain.

“Waktu kami hendak makan, saya tengok dia duduk sorang-sorang di satu sudut. Saya nampak pelik dan terus tanya, sheikh (gelaran untuk Asri) jauh benar duduk..dia jawab ana panas, nak duduk dekat kipas.

“Orang Melayu kata, kalau orang tu berkelakuan pelik ia seperti tanda-tanda...,” cerita Akhil dalam nada sayu mengenangkan seorang lagi sahabatnya yang pergi menghadap Ilahi. - Mstar

Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia

PETALING JAYA: Jenazah arwah Ustaz Asri sedang dibawa ke rumahnya di di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam untuk dikebumikan sebelum Asar.

Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Menurut salah seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Balu arwah, Haliza Shahadan hadir di hospital beserta dengan beberapa rakan artis seperti penyanyi Nash, Yasin Sulaiman dan Mas Omar.

Selain itu, lebih 100 orang melibatkan rakan terdekat dan ahli keluarga arwah turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Dua hari lalu, Asri bersama anggota Rabbani yang lain menghadiri majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.

Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan 'Citarasa Ramadan 1 Malaysia' bermula 1 Ramadan nanti.

Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan 'live' mereka.

Dalam sidang media itu, Asri berkata mengadakan persembahan di Hotel Singgahsana merupakan satu ibadah bagi dirinya.

"Saya rasa ibadah puasa saya tidak lengkap jika tidak mengadakan persembahan di hotel ini. Orang kata bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja, banyakkan ibadah, tetapi pada saya ini merupakan ibadah saya," katanya.

Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.

Selain seorang balu, Haliza, 38, arwah turut meninggalkan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.

Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Sebelum Rabbani, kumpulan itu dikenali sebagai Nada Murni yang ditubuhkan sekitar tahun 80-an.

Asri juga pernah menyanyi secara duet dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Mawi menerusi lagu 'Saksi' dan 'Mentari Merah Di Ufuk Timur' nyanyian bersama Amy Search.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi sekaligus memberikan kejayaan kepada Rabbani dan industri muzik nasyid.

Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapab tahun berturut-turut.

Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).

Revolusi muzik nasyid yang dilalui Rabbani selama berjuang dalam industri hiburan seringkali mencetus pelbagai perdebatan.

Ada yang berpendapat, lagu-lagu nasyid nyanyian Rabbani tersasar daripada landasan muzik nasyid yang sedia ada.

Sebelum ini, kumpulan ini pernah merakamkan lagu Pergi Tak Kembali ciptaan KRU berteraskan genre pop yang mendakwa Rabbani seperti meminggirkan objektif utama lagu nasyid.

Namun,kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini tampil dengan konsep yang tersendiri.

Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana… Ke Mana…' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.

Bermula dengan berkonsepkan nasyid klasik, melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut citarasa yang sesuai dengan era yang terkini.

Juga dipersembahkan bersesuaian dengan citarasa remaja.

Disamping itu ditampilkan dengan adunan muzik ala melayu timur dan digabungkan dengan adunan muzik timur tengah.

Dan kini Rabbani muncul pula dengan konsep yang lebih global dalam bidang muzik tanpa mengurangkan kualiti mesej yang akan disampaikan dengan menampilkan world music didalam lagu-lagu terbarunya.

Ini adalah untuk menjadikan irama nasyid ini akan terus segar dari semasa ke semasa dan terus diminati oleh semua golongan tanpa mengira had bangsa dan negara.

Bagaimanapun dalam menyampaikan irama nasyid ini mesej adalah yang paling utama sekali dengan berpersepsikan bentuk nasihat, dakwah dan panduan.

Sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit pendidikan secara tidak langsung itu berjaya masuk ke ruang fikiran sambil berhibur.

Lantaran itu juga boleh mendorong sikap kita ke arah kebaikan. - Mstar

Lihat Video Berita