Friday, July 11, 2008

Antara dua karier

Menyedari minat mendalam dan ingin serius menyanyi nasyid, bekas anggota In-team yang juga suami kepada penyanyi dan pelakon, Nor Diana Mohd Naim atau Ina, sedia memilih hanya satu kerjaya.

Justeru, berbekalkan ‘nama’ yang ada, Suhami sanggup bergelar anak seni berbekalkan album solo kedua, KalamaK yang kini berada di pasaran.

Suhaimi berkata, selama lapan tahun menjadi penyanyi dan empat tahun sebagai guru, dia sedar bukan mudah untuknya membahagi masa sebaiknya untuk dua karier.

“Oleh itu, lebih wajar saya lepaskan satu daripadanya. Saya rela meninggalkan kerjaya pendidik walaupun tidak mudah melakukannya. Maklumlah, menyalurkan ilmu pada pelajar juga menjadi minat saya. Namun, komitmen masa yang menuntut pengorbanan.

“Ketika masih mengajar dulu, saya sentiasa terkejar-kejar antara kelas dan jadual persembahan. Malah, saya sering tergesa untuk balik ke rumah kerana malamnya menyanyi pula. Keadaan itu menyukarkan penyusunan jadual yang betul serta terurus.

“Apapun, niat saya berhenti mengajar mendapat restu keluarga. Bahkan ayah saya (Saad Jamaluddin, 62) pun pernah menasihatkan supaya meneruskan kerjaya seni. Bukan apa, masa tengah muda dan orang terima inilah saya perlu ambil peluang yang datang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran KalamaK.

Katanya, kalau dia ingin mengajar lagi jika panjang umur, mungkin pada usia mencecah 40-an.

Akui lelaki berusia 28 tahun ini, isteri juga tidak menghalang keputusan itu dan sentiasa memberi sokongan padu pa danya.

“KalamaK memuatkan lapan lagu dan dua zikir diedarkan Strategic Communication Sdn Bhd. Ia kini dijual menerusi Internet dengan harga RM20 dan orang ramai boleh membeli cakera padat (CD) KalamaK menerusi laman web www.su haimi.com.my.

www.hmetro.com.my

Monday, July 7, 2008

Kak Pah penyanyang dan disayangi



KUALA LUMPUR, 27 JUN 2008: Pada usia lebih 50 tahun, Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini adalah insan yang paling bertuah kerana dia memiliki hampir segala-galanya.


Kehebatan kerjaya seni, kesihatan, harta dan anak-anak adalah bukti kehidupan beliau yang dirahmati. Pun begitu, Sharifah atau Kak Pak tetap merendah diri dan memegang resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.


"Kak amat bersyukur kerana dilimpahi rezeki dan rahmat Tuhan dan berharap keadaan ini akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat.


"Pada usia begini tiada apa yang Kak Pah harapkan agar dapat terus bersama anak-anak dan mendampingi masyarakat. Segala dugaan yang pernah berlaku dalam hidup Kak Pah selama ini tidak pernah melemahkan semangat Kak Pah malah membuatkan Kak Pah semakin kuat.

"Kak Pah berkata begitu kerana semua yang berlaku ada hikmahnya dan Kak yakin Tuhan menduga kita kerana Dia sayangkan kita," kata penghibur kesayangan ramai itu kepada murai.com.my.


Kak Pah berkata demikian pada majlis tahlil kesyukuran sempena menyambut ulang tahun hari lahirnya di kediamannya yang begitu indah Petaling Jaya, malam tadi. Mengambil berkat malam Jumaat, Kak Pah turut mengundang kira-kira 100 anak-anak yatim dan pengajian tahfiz dari Puchong dan Subang Jaya untuk bersama-sama berjemaah serta bertahlil.


Lebih menggembirakan Kak Pah yang akan menyambut hari jadi pada 2 Julai ini, anak lelakinya, Aliff Omar, 26, juga ada bersama.


"Kak Pah sangat gembira kerana Aliff sedang bercuti 3 bulan dan akan menyambut Ramadan serta beraya di Malaysia. Inilah kali pertama dia akan beraya dengan Kak Pah selepas 5 tahun menuntut di Madinah," kata Kak Pah.



Mahligai Seri Dewi Malam


Ketika ini, penyanyi Burung Pungguk itu baru saja mengubah suai kediamannya yang sungguh cantik itu. Pun begitu Kak Pah masih keberatan untuk menyiarkan keseluruhan rumahnya itu kerana ia sesuatu yang peribadi dan tidak mahu disalah anggap sebagai mahu menunjuk-nunjuk.


"Kita bergambarlah saja di mana yang perlu. Kak Pah seganlah, jangan marah ya..." pinta Kak Pah dengan lembut dan manja.


Rumah itu menonjolkan rekaan ala Mediterranean dan Eropah dan mempunyai banyak ruang yang cantik serta unik seperti sebuah surau yang mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah dan juga sebuah bilik muzik yang lengkap dengan grand piano. Memang rumah Kak Pah itu dipenuhi dengan chandelier yang hebat-hebat dan mempesonakan.


Rumah impian Kak Pah itu antara lain mempunyai ruang tamu formal, ruang makan formal, dry kitchen, wet kitchen, perpustakaan muzik, sudut ilmu dengan koleksi pelbagai buku-buku, sebuah pantry untuk koleksi pinggan mangkuk berjenama, bilik laundry khas selain dilengkapi dengan sistem keselamatan canggih termasuk CCTV.


"Alah, tak payahlah kita cakap pasal nilai atau harga kediaman Kak Pah ini tapi semua ini adalah hasil kerja keras dan titik peluh Kak Pah selama 40 tahun berjuang sebagai anak seni.


"Semua ini juga untuk anak-anak Kak Pah dan apa salahnya kita selesakan hidup kita dengan rezeki yang Tuhan beri. Kebetulan, Kak Pah juga suka menghias rumah dan meminati bidang interior designing. Bukan saja rumah sendiri malah Kak Pah juga menjadikan ia satu cabang kerja baru dengan menghias rumah kawan-kawan," kata Kak Pah yang sudah lama mengusahakan syarikat penghantaran hadiah, Pods & Petal's Giftlab Sdn Bhd.


Kata Kak Pah lagi: "Ketika ini Kak Pah berasa tenang dan gembira kerana Kak Pah tidak pernah sunyi dengan keletah anak-anak dan kunjungan sahabat yang bertali arus. Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong Kak Pah."


Memandangkan Kak sudah pun memiliki segalanya, bila agaknya beliau akan berumah tangga lagi?


"Tunggulah, kalau sudah ada calon yang berkenan di hati, Kak Pah akan maklumkan pada rakan-rakan wartawan, siapa orangnya," kata Kak Pah sambil menyimpul senyuman.

http://www.murai.com.my