Monday, June 23, 2008

Wardina fokus kerjaya, keluarga

MUNGKIN inilah yang dinamakan rezeki. Kalau tidak di bidang lakonan, mungkin terhampar luas di cabang pengacaraan.

Apa yang pasti, bagi wanita cantik berdarah kacukan Acheh dan Australia ini, cabang rezekinya pasti ada asalkan dia berusaha untuk mencarinya.

Ditemui baru-baru ini, ternyata Warnida Saffiyah Fadlullah atau lebih mesra disapa Wardina ini masih jelita seperti awal kemunculannya.

Apatah lagi kegembiraan terpancar pada wajahnya lantaran dia kini sedang lima bulan hamil anak ketiga.

Menceritakan tentang kehamilannya, kata isteri kepada Ikhwan Johari itu, dia dan suaminya tidak merancang untuk mempunyai cahaya mata ketiga secepat itu.

Menganggap ia merupakan rezeki yang telah ditentukan Tuhan, dia dan suami menyambut baik berita gembira itu dan menerimanya dengan hati terbuka.

Ternyata rezekinya tidak hanya tertumpu kepada keluarga semata-mata tetapi juga bidang kerjaya sebagai pengacara dan pelakon.

“Alhamdulillah, rezeki saya sekarang semakin murah tetapi lebih banyak tertumpu kepada bidang pengacaraan berbanding lakonan.

“Saya masih minat berlakon, tetapi setakat ini saya belum menerima apa-apa tawaran, cuma tawaran berlakon dalam drama bersiri Impian sahaja,” kata ibu kepada dua anak, Amna Nafeesa, 5, dan Azra Sareera, 2 tahun itu.

Antara program yang dikendalikan oleh Wardina ketika ini termasuklah Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, Carta Nasyid di TV9 dan rancangan Ibu Mithali di Astro Oasis.

Rasa Bersalah

Sesekali, terdetik rasa bersalah di hatinya terhadap anak-anak lantaran kesibukannya melunaskan tuntutan sebagai pengacara dan pelakon.

“Tapi apa boleh buat, kebanyakan tawaran mengacara saya dapat sebelum saya hamil lagi. Ini pun rezeki buat saya dan saya harus menerimanya dan pada masa yang sama disahkan mengandung nak tolak pun tak boleh, terpaksalah teruskan juga.

“Kadang-kadang kasihan juga dengan anak-anak sebab saya terlalu sibuk, sekarang terpaksa bagi pengasuh yang jaga. Itu yang membuatkan saya rasa bersalah sangat,” akui Wardina tanpa berselindung.

Bagaimanapun, menurut Wardina, kesabaran suaminya yang seringkali memahami situasi serta status dirinya sebagai seorang selebriti, membuatkan dirinya berasa begitu bertuah.

Minat berlakon cerita keagamaan

Kalau sudah namanya pelakon, apa sahaja jurang yang hadir pasti akan berbalik kepada lakonan juga.

Begitulah yang dirasai oleh Wardina ketika ini.

Minatnya yang mendalam terhadap dunia lakonan masih menebal biarpun perlahan-lahan beralih ke bidang pengacaraan.

Bagaimanapun menurut Wardina, peluang untuknya terus berlakon agak sukar diperolehi lantaran imejnya yang bertudung sejak tahun 2002.

Tidak mahu cepat membuat telahan negatif, kata Wardina, walaupun dia mampu melakonkan pelbagai watak, namun situasi dirinya yang bertudung ketika berlakon di set pengambaran bukanlah semudah yang disangka.

“Berlakon memerlukan banyak babak, mungkin ada babak antara suami dan isteri, jadi bila kita sudah bertudung semuanya jadi terhad.

“Apatah lagi, melakonkan situasi biasa seperti di dalam rumah. Logiknya dalam rumah tidak perlu pakai tudung tetapi saya perlu bertudung walaupun melakonkan babak ke bilik air,” luah Wardina tentang kesulitan yang dialaminya.

Menurut aktres ini, dia akan mempertimbangkan jika ada pihak yang mahu menawarkannya berlakon cerita-cerita agama kerana hasrat hatinya ingin memperluaskan bakat lakonannya ke genre lakonan berunsurkan keagamaan pula.

Terbaru, Wardina bakal muncul sebagai Kak Ju dalam siri Impian yang bakal ditayangkan di TV3 mulai 23 Jun ini pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 3.30 petang sementara siaran ulangan, setiap Sabtu pukul 12.30 tengah hari.

Turut membintangi Impian ialah Esma Daniel, Ashraf Muslim, Zoey, Tiz Zaqyah, Kamal dan Al-Hafiz.

www.utusan.com.my

Friday, June 13, 2008

Peserta AQ wajar dimasyhurkan

SEPERTI mana bintang-bintang yang dilahirkan menerusi program realiti yang bersandarkan populariti, stesen televisyen TV9 tidak mahu ketinggalan berusaha memasyhurkan program realiti terbitannya, Akademi Al-Quran (AQ).

Sebagai stesen yang merintis program realiti berasaskan agama itu, TV9 berikrar untuk memastikan bakat-bakat yang diasah menerusi AQ tidak tercicir daripada mendapat perhatian masyarakat.

Apa lagi stesen berkenaan menyifatkan AQ merupakan platform terbaik untuk membudayakan bacaan kitab suci Al-Quran, khususnya di kalangan generasi muda.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9 Bukhari Che Muda, AQ yang kini memasuki musim ketiga penerbitannya sudah membuktikan kemampuannya menarik perhatian khalayak televisyen.

Justeru, stesen televisyen itu katanya, akan melipatgandakan usaha untuk mempromosikan bakat-bakat AQ agar mereka boleh menjadi ikon muda yang disegani ramai.

“Jika pemenang rancangan realiti lain berjaya di luar sana selepas tamat pengajian mereka, begitu juga dengan peserta AQ.

“Kami yakin, usaha dan pendekatan promosi yang baik akan membantu memperkenalkan bakat-bakat AQ ke peringkat yang lebih luas,” jelas Bukhari kepada media selepas majlis memperkenalkan finalis AQ musim ketiga, baru-baru ini.

Bukhari turut menggariskan antara pendekatan yang dijangka paling efektif untuk mempromosikan qari dan qariah yang dilahirkan menerusi AQ ialah menerusi sesi jelajah Perkampungan Islam Hadhari yang dianjurkan stesen berkenaan.

AQ yang diterbitkan oleh stesen yang berbangga dengan slogannya, Dekat Di Hati sehingga kini itu berjaya mencatat jumlah penonton sehingga 700,000 penonton setiap kali bersiaran.

Untuk musim ketiga ini, AQ yang bakal menghampiri kemuncaknya pada 19 Jun ini menyenaraikan empat peserta iaitu Ahmad Tarmizi Abd. Rahman, Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman dan Syamsul Abu Hassan Al- Shaari.

Pada majlis memperkenalkan keempat-empat peserta itu, kesemua qari dan qariah berkenaan turut memperdengarkan bacaan dari surah lazim.

Apa yang pasti, Bukhari begitu bangga dengan komitmen yang ditunjukkan bukan sahaja terhadap keempat-empat finalis AQ, bahkan lapan peserta lain yang tidak bernasib baik untuk mara ke gelanggang akhir akademi itu.

Pada masa depan, Bukhari juga memberitahu, AQ akan terus memastikan pengisian program berkenaan membentuk ilmiah dan pendidikan dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Quran secara taranum dan Qiraaat peserta.

Jauh lebih penting, Bukhari juga menyatakan rasa gembira kerana AQ juga mencetus kepekaan masyarakat terhadap ilmu agama.

“Malahan penonton juga mendapat manfaat kerana berkongsi pembacaan ayat -ayat Al-Quran menerusi penerangan dan bimbingan daripada tenaga pengajar dan juri dalam setiap rancangan,’’ katanya.

Adat bagi sebuah pertandingan, setiap pemenang pasti akan ditawarkan hadiah. Begitu juga dengan AQ.

Untuk pertandingan akhir AQ pada 19 Jun ini, pemenang utama akan memenangi sebuah kereta Proton Saga BML, piala kristal berbentuk Al-Quran serta wang tunai berjumlah RM30,000.

“Apa yang penting bukanlah ganjaran yang ditawarkan kepada mereka, sebaliknya ilmu sepanjang menjalani pengajian di akademi ini,’’ jelas Bukhari lagi.

Pada masa depan, TV9 juga kata orang nombor satu stesen televisyen berkenaan mengharapkan pembabitan syarikat-syarikat korporat untuk sama-sama menyokong usaha murni ini.

www.utusan.com.my