Friday, June 13, 2008

Peserta AQ wajar dimasyhurkan

SEPERTI mana bintang-bintang yang dilahirkan menerusi program realiti yang bersandarkan populariti, stesen televisyen TV9 tidak mahu ketinggalan berusaha memasyhurkan program realiti terbitannya, Akademi Al-Quran (AQ).

Sebagai stesen yang merintis program realiti berasaskan agama itu, TV9 berikrar untuk memastikan bakat-bakat yang diasah menerusi AQ tidak tercicir daripada mendapat perhatian masyarakat.

Apa lagi stesen berkenaan menyifatkan AQ merupakan platform terbaik untuk membudayakan bacaan kitab suci Al-Quran, khususnya di kalangan generasi muda.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9 Bukhari Che Muda, AQ yang kini memasuki musim ketiga penerbitannya sudah membuktikan kemampuannya menarik perhatian khalayak televisyen.

Justeru, stesen televisyen itu katanya, akan melipatgandakan usaha untuk mempromosikan bakat-bakat AQ agar mereka boleh menjadi ikon muda yang disegani ramai.

“Jika pemenang rancangan realiti lain berjaya di luar sana selepas tamat pengajian mereka, begitu juga dengan peserta AQ.

“Kami yakin, usaha dan pendekatan promosi yang baik akan membantu memperkenalkan bakat-bakat AQ ke peringkat yang lebih luas,” jelas Bukhari kepada media selepas majlis memperkenalkan finalis AQ musim ketiga, baru-baru ini.

Bukhari turut menggariskan antara pendekatan yang dijangka paling efektif untuk mempromosikan qari dan qariah yang dilahirkan menerusi AQ ialah menerusi sesi jelajah Perkampungan Islam Hadhari yang dianjurkan stesen berkenaan.

AQ yang diterbitkan oleh stesen yang berbangga dengan slogannya, Dekat Di Hati sehingga kini itu berjaya mencatat jumlah penonton sehingga 700,000 penonton setiap kali bersiaran.

Untuk musim ketiga ini, AQ yang bakal menghampiri kemuncaknya pada 19 Jun ini menyenaraikan empat peserta iaitu Ahmad Tarmizi Abd. Rahman, Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman dan Syamsul Abu Hassan Al- Shaari.

Pada majlis memperkenalkan keempat-empat peserta itu, kesemua qari dan qariah berkenaan turut memperdengarkan bacaan dari surah lazim.

Apa yang pasti, Bukhari begitu bangga dengan komitmen yang ditunjukkan bukan sahaja terhadap keempat-empat finalis AQ, bahkan lapan peserta lain yang tidak bernasib baik untuk mara ke gelanggang akhir akademi itu.

Pada masa depan, Bukhari juga memberitahu, AQ akan terus memastikan pengisian program berkenaan membentuk ilmiah dan pendidikan dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Quran secara taranum dan Qiraaat peserta.

Jauh lebih penting, Bukhari juga menyatakan rasa gembira kerana AQ juga mencetus kepekaan masyarakat terhadap ilmu agama.

“Malahan penonton juga mendapat manfaat kerana berkongsi pembacaan ayat -ayat Al-Quran menerusi penerangan dan bimbingan daripada tenaga pengajar dan juri dalam setiap rancangan,’’ katanya.

Adat bagi sebuah pertandingan, setiap pemenang pasti akan ditawarkan hadiah. Begitu juga dengan AQ.

Untuk pertandingan akhir AQ pada 19 Jun ini, pemenang utama akan memenangi sebuah kereta Proton Saga BML, piala kristal berbentuk Al-Quran serta wang tunai berjumlah RM30,000.

“Apa yang penting bukanlah ganjaran yang ditawarkan kepada mereka, sebaliknya ilmu sepanjang menjalani pengajian di akademi ini,’’ jelas Bukhari lagi.

Pada masa depan, TV9 juga kata orang nombor satu stesen televisyen berkenaan mengharapkan pembabitan syarikat-syarikat korporat untuk sama-sama menyokong usaha murni ini.

www.utusan.com.my