Sunday, May 18, 2008

Bukan sebab mengandung

Penampilannya sedikit berubah. Masih sopan, masih menutup aurat tetapi imejnya yang kini selesa menggayakan jubah berwarna hitam serta bertudung polos dengan solekan nipis menimbulkan banyak tanda tanya.

Mengenali Waheeda yang dahulu, dia gemar bermain dengan warna terang dan garang. Solekannya kala membuat persembahan atau menghadiri sesebuah majlis juga mampan. Selalunya penampilan Waheeda tidak pernah gagal, sebaliknya mempesona.

Tetapi pemilik nama sebenar Norwahidah Abdul Wahab hari ini seperti sudah mahu menyisihkan hal-hal 'menjerit' seperti itu - seiring dengan pengumumannya untuk mengundurkan diri secara perlahan-lahan dari dunia seni.

Adakah kerana benar dia sudah bernikah atau apa alasan relevan dari bibir petah wanita ini?

"Jangan salah faham. Saya masih bersolek dan memakai baju berwarna terang semasa membuat persembahan. Cuma untuk penampilan sehari-harian, saya lebih selesa memilih fesyen seperti ini. Saya tahu saya masih ada tanggungjawab sebagai pendakwah hiburan.

"Namun apa yang saya lakukan hari ini, iaitu tampil dengan lebih minimal adalah sebagai salah satu usaha memenuhi tuntunan Islam dalam setiap segi termasuk penampilan yang sederhana," katanya yang juga sedang mempraktikkan diri untuk tidak bersalaman dengan bukan muhrim.

Pertemuan saya dengan Waheeda sore itu berjalan agak singkat dan santai, tetapi kaya dengan kemeriahan bicara tanpa henti tentang hal-hal yang terjadi dalam kehidupannya kini.

Tentang 'pernikahan' dengan rakan seperjuangan, Ustaz Akhil Hayy, tentang kononnya dia mengandung, tentang misinya dalam menyebarkan dakwah, juga tentang perasaannya sebagai seorang wanita yang tersepit antara glamor, peribadi, kehendak diri serta ambisi.

Kebanyakan bicaranya disulami tawa bahagia dengan sinar mata yang bercahaya. Secara kasarnya, penyanyi dan pelakon yang September depan akan mencecah usia 30 tahun ini tampak tidak memikul sebarang beban di bahunya.

Tetapi secara psikologinya, hanya dia yang tahu. Laju bicaranya, kata Waheeda ringkas: "Tak terasa beban. Malah menjadikan saya lebih kuat. Lebih mengenal Tuhan."

Duta produk kecantikan Safi ini kemudian memanjangkan bicara. Ujarnya, ikatan perkahwinan adalah tuntutan Tuhan. Malah sebagai seorang manusia dan wanita, keinginan untuk berkahwin tetap wujud. Namun apabila isu perkahwinan menjadi sebuah fitnah, ia sedikit mengecewakan.

"Belum, saya belum berkahwin," katanya serius. Kemudian anak kelahiran Johor Bahru ini melanjutkan kekecewaannya dengan berkata: "Lebih menyedihkan apabila ada pihak yang mendakwa saya mengandung. Sebab itu saya mahu meninggalkan dunia hiburan. Subhanallah. Itu satu fitnah yang cukup besar buat saya."

Luahan hati Waheeda terus larut ke dasarnya. Usai isu perkahwinan, dia menjelaskan niat yang mahu meninggalkan lapangan hiburan - dunia yang telah diterokanya sejak lebih lima tahun lalu.

Kemenangan pada Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-15 (AIM15), menerusi kategori Album Pop Etnik Terbaik juga tidak akan merobah keputusannya untuk berhenti. Hanya saat semakin yakin mahu bersara, tawaran datang mencurah. Seperti Tuhan menduga keimanannya.

Selaku duta Safi, kontrak yang telah diikat sejak tahun 2007 dipanjangkan sehingga 2009. Produk Digi juga kembali mahu memakai khidmatnya.

Album terbaru yang dijangka akan terbengkalai kini sudah memasuki pasca penerbitan. Dan yang terakhir, tawaran menjadi seorang hos untuk sebuah program berbentuk dakwah kini dalam perbincangan.

"Sewaktu diumumkan saya menang, saya tertanya-tanya dalam hati sama ada nak tinggalkan dunia hiburan ke tak? Tapi akhirnya saya sedar, saya sayangkan Tuhan lebih banyak daripada dunia hiburan ini.

"Jadi saya harus lakukan satu pengorbanan untuk kebaikan masa depan saya iaitu dengan meneruskan niat meninggalkan dunia hiburan.

"Tapi kemudian, saya juga tak boleh lari daripada semua tanggungjawab. Jadi saya harus lunaskan semua komitmen yang sudah diikat. Untuk album yang saya namakan sebagai Zikurullah ini misalnya, saya harus lakukan juga.

"Dan untuk program dakwah pula, saya suka berkongsi banyak hal tentang Islam. Ia juga satu perkongsian ilmu, maka kenapa tidak saya lakukan kalau ia demi kebaikan untuk kita semua?

"Insya-Allah saya akan lakukan, tetapi untuk berlakon atau menyanyi, saya mahu membataskannya," jelas pemangkin irama world music ini panjang lebar.

Menurut anak seni yang cukup fasih berbahasa Arab ini lagi, keinginan keluar daripada kepompong seni bukan didesak sesiapa. Mengakui cuba melakukan hal yang terbaik kerana sedar dirinya bukan malaikat, jalan penyelesaiannya adalah mengundur diri.

Selain Tuhan, dia akui, fitnah-fitnah yang semakin berleluasa meninggalkan kesan tidak enak di hatinya untuk terus duduk diam dalam industri.

"Saya mahu keluar daripada industri ini kerana Tuhan. Saya takut, bila saya lebih lama, saya tak bertahan lagi untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.

"Kemudian apabila saya melihat semakin banyak fitnah dan gosip. Saya lihat pegangan Islam dalam dunia ini makin teruk.

"Masing-masing sibuk menjual benda yang komersial sehingga dakwah yang ingin disampaikan terjejas. Malah dalam industri nasyid sendiri, saya sudah tidak nampak dakwah yang telus kerana lebih ramai yang mementingkan duit daripada mesej yang ingin disampaikan.

"Dan jangan terkejut jika saya katakan bahawa dunia nasyid lebih banyak hasad dengki dan fitnah," luah pemilik album Binafsha dan Melodi Ahlan ini jujur.

Bekas model Pantene ini menarik nafas dalam-dalam sambil memberitahu dia yakin pasti ramai yang tidak senang dengan kenyataan yang dikeluarkan. Namun, inilah dirinya - seorang Waheeda yang dilahirkan dengan sifat demokrasi bersuara.

"Kalau nak berjihad, kita tak perlu takut," ujar pelantun lagu Wassini ini penuh makna.

Di celah kesibukan menjadi seorang selebriti pelakon yang telah terbabit dengan filem-filem seperti I Know What You Did Last Summer dan Nana Tanjung, masa senggangnya kini diisi dengan kembara seorang penulis.

"Saya tengah ligat menulis cerita-cerita pendek untuk dimuatkan dalam sebuah buku khusus untuk golongan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun. Ia berbentuk fantasi tetapi terisi dengan pelbagai motivasi buat mereka," umumnya.

Bagaimanapun 'perjalanan' itu kini sedikit terbantut apabila dia harus menulisnya semula dalam bahasa Melayu. Sedang sebelum ini, karya yang telah dihasilkan separuh jalan itu ditulis dalam bahasa Inggeris.

Katanya: "Tapi saya berharap agar buku ini dapat dihasilkan dan dijual dalam dwibahasa kerana ia boleh dipasarkan dengan lebih global lagi."

Sebelum pulang, saya duga lagi Waheeda. Saya tanya adakah dia sudah membulatkan hati untuk tidak lagi terbabit dengan industri sedang bakatnya cukup besar di sini. Jika tidak menyanyi pun, dia masih bisa berdakwah menerusi lirik miliknya.

Wanita ini senyum. Dia kata, perasaan sayang meninggalkan industri masih ada. Terutama apabila mengenangkan sahabat-sahabat artis yang berbakat besar dan tulus menyampaikan mesej mereka.

"Tapi sekarang saya makin tenang," akuinya sebelum ketawa: "Dan dugaannya pun makin banyak."

www.kosmo.com.my

Sunday, May 11, 2008

Dubai menakjubkan

Bersama enam krew, bintang paling popular tiga tahun berturut-turut ini berkampung di kota canggih itu bermula 22 April hingga 1 Mei lalu dengan kerjasama Dubai Tourism Commerce and Marketing (DTCM).

Dibantu pemandu pelancong dari Lama Tours, rombongan yang menetap di hotel lima bintang, Movenpick ini memanfaatkan hari pertama dengan berkunjung ke Muzium Dubai yang mempamerkan tinggalan sejarah seperti senjata, pengangkutan air, alat muzik, perdagangan, peralatan mencari mutiara dan rumah di padang pasir yang dipanggil Al Kaimah dan Al Arish. Uniknya, setiap rumah ini mempunyai menara angin yang berfungsi sebagai penyejuk suhu.

Pemandangan indah Dubai dapat dinikmati dari atas bot yang dipanggil Abra Water Taxi ketika menyeberangi Dubai Creek dengan bayaran semurah 90 sen. Menurut Mawi, meskipun Dubai bandar moden, bot masih menjadi antara pengangkutan penting.

Penggambaran turut dilakukan di pasar rempah, bazar emas (Gold Soul) dan di Jalan Sheikh Zayed yang megah dengan bangunan mercu tanda dan bangunan tertinggi di dunia.

Lebih bererti apabila Mawi berpeluang meninjau projek terbesar Nakheel, syarikah hartanah terbesar di dunia, merasai pengalaman hebat di hotel enam bintang The Palace Old Town, Bab-Al Shams di tengah padang pasir dan Burj Al Arab yang terkenal sebagai mercu tanda Dubai.

“Tidak lengkap perjalanan andai tidak menempuh pengalaman mencabar di Desert Safari dan Hatta Mountain Safari. Jika Desert Safari saya mengharungi lautan pasir dengan pacuan empat roda, Hatta yang terletak berhampiran sempadan Oman pula terbentang indah gunung batu yang kehitaman warnanya.

“Di tengah gunung kering-kontang ini ada mata air yang dipanggil Wadi. Sungguh menakjubkan, airnya sejuk dan nyaman. Ramai juga pelancong mandi dalam kolam sedalam lapan meter ini.

“Menyaksikan Jumana — Secret of the Desert Laser Show juga tidak kurang hebatnya. Pertunjukan pantulan cahaya laser, hologram yang diperkemaskan dengan kesan bunyi ini memaparkan cerita raja dan pahlawan Arab. Persembahan ini boleh disaksikan kira-kira 500 pengunjung setiap hari,” katanya.

Tambahnya: “Dari pemerhatian saya, orang Dubai suka membina bangunan terbesar, tertinggi dan tercanggih. Pendek kata, semua yang terbaik belaka seperti Emirates Mall yang diiktiraf sebagai pusat beli-belah terbesar di negara Timur Tengah dan Ski Dubai, pusat ski tertutup terbesar dunia. Mungkin dengan ekonomi yang baik, mereka mampu merancang dan melaksanakan projek mega seperti ini.”

Menerusi kembara ini juga, pengikut setia Langkah Mawi World dapat menyaksikan keunikan Chill Out yang dibina daripada batu-bata. Lounge yang terletak di Dubai Time Square itu mencatat suhu -6° Celsius. Lebih menarik, hiasan dalaman, cawan dan gelas semuanya dibuat daripada air dan diimport khas dari Kanada.

“Saya sempat membeli kain untuk keluarga di bazar Naif yang popular sebagai pusat jualan tekstil dan barangan elektronik. Rambang mata dibuatnya; sutera, renda dan sifon dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding Malaysia.

“Penggambaran berakhir di Dubai World Trade Centre. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Astro Ria, KTO, Visit Britain, DTCM, Gulf Air, media, kru dari Ethnic Network, Maestro Talent dan semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan Langkah Mawi World,” kata Mawi yang berharap penonton tidak melepaskan peluang menonton empat episod rakaman penggambaran di Dubai di Astro Ria, setiap Ahad, jam 5 petang.

http://www.hmetro.com.my