Sunday, May 11, 2008

Dubai menakjubkan

Bersama enam krew, bintang paling popular tiga tahun berturut-turut ini berkampung di kota canggih itu bermula 22 April hingga 1 Mei lalu dengan kerjasama Dubai Tourism Commerce and Marketing (DTCM).

Dibantu pemandu pelancong dari Lama Tours, rombongan yang menetap di hotel lima bintang, Movenpick ini memanfaatkan hari pertama dengan berkunjung ke Muzium Dubai yang mempamerkan tinggalan sejarah seperti senjata, pengangkutan air, alat muzik, perdagangan, peralatan mencari mutiara dan rumah di padang pasir yang dipanggil Al Kaimah dan Al Arish. Uniknya, setiap rumah ini mempunyai menara angin yang berfungsi sebagai penyejuk suhu.

Pemandangan indah Dubai dapat dinikmati dari atas bot yang dipanggil Abra Water Taxi ketika menyeberangi Dubai Creek dengan bayaran semurah 90 sen. Menurut Mawi, meskipun Dubai bandar moden, bot masih menjadi antara pengangkutan penting.

Penggambaran turut dilakukan di pasar rempah, bazar emas (Gold Soul) dan di Jalan Sheikh Zayed yang megah dengan bangunan mercu tanda dan bangunan tertinggi di dunia.

Lebih bererti apabila Mawi berpeluang meninjau projek terbesar Nakheel, syarikah hartanah terbesar di dunia, merasai pengalaman hebat di hotel enam bintang The Palace Old Town, Bab-Al Shams di tengah padang pasir dan Burj Al Arab yang terkenal sebagai mercu tanda Dubai.

“Tidak lengkap perjalanan andai tidak menempuh pengalaman mencabar di Desert Safari dan Hatta Mountain Safari. Jika Desert Safari saya mengharungi lautan pasir dengan pacuan empat roda, Hatta yang terletak berhampiran sempadan Oman pula terbentang indah gunung batu yang kehitaman warnanya.

“Di tengah gunung kering-kontang ini ada mata air yang dipanggil Wadi. Sungguh menakjubkan, airnya sejuk dan nyaman. Ramai juga pelancong mandi dalam kolam sedalam lapan meter ini.

“Menyaksikan Jumana — Secret of the Desert Laser Show juga tidak kurang hebatnya. Pertunjukan pantulan cahaya laser, hologram yang diperkemaskan dengan kesan bunyi ini memaparkan cerita raja dan pahlawan Arab. Persembahan ini boleh disaksikan kira-kira 500 pengunjung setiap hari,” katanya.

Tambahnya: “Dari pemerhatian saya, orang Dubai suka membina bangunan terbesar, tertinggi dan tercanggih. Pendek kata, semua yang terbaik belaka seperti Emirates Mall yang diiktiraf sebagai pusat beli-belah terbesar di negara Timur Tengah dan Ski Dubai, pusat ski tertutup terbesar dunia. Mungkin dengan ekonomi yang baik, mereka mampu merancang dan melaksanakan projek mega seperti ini.”

Menerusi kembara ini juga, pengikut setia Langkah Mawi World dapat menyaksikan keunikan Chill Out yang dibina daripada batu-bata. Lounge yang terletak di Dubai Time Square itu mencatat suhu -6° Celsius. Lebih menarik, hiasan dalaman, cawan dan gelas semuanya dibuat daripada air dan diimport khas dari Kanada.

“Saya sempat membeli kain untuk keluarga di bazar Naif yang popular sebagai pusat jualan tekstil dan barangan elektronik. Rambang mata dibuatnya; sutera, renda dan sifon dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding Malaysia.

“Penggambaran berakhir di Dubai World Trade Centre. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Astro Ria, KTO, Visit Britain, DTCM, Gulf Air, media, kru dari Ethnic Network, Maestro Talent dan semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan Langkah Mawi World,” kata Mawi yang berharap penonton tidak melepaskan peluang menonton empat episod rakaman penggambaran di Dubai di Astro Ria, setiap Ahad, jam 5 petang.

http://www.hmetro.com.my