Saturday, April 3, 2010

Lagu untuk arwah Asri

KEMURUNGAN irama nasyid kebelakangan ini tidak pernah mematahkan semangat kumpulan Raihan, juga finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) bagi kategori Artis Nasyid Popular, untuk terus berdakwah.

Tiada alasan untuk tunduk pada keadaan, bahkan kumpulan yang ditubuhkan sejak 14 tahun itu memperkasakan kehadiran mereka dengan kemunculan album ke-10 dinamakan Musafir Perjuangan.

Che Amran Idris bertindak selaku jurucakap kumpulan selepas Nazrey meninggalkan kumpulan itu berkata, album berkenaan sangat bererti dan boleh dianggap peribadi buat setiap anggota Raihan.

"Alhamdulillah puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan segala limpah dan kurnia-Nya dapat menghasilkan sebuah lagi album penuh yang ke-10 selepas 14 tahun berkelana dalam industri nasyid ini. "Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad s.a.w penyelamat semua umat dari kegelapan kepada cahaya. Sesungguhnya, album ini amat istimewa bagi kami walaupun hanya menampilkan lima buah lagu, ia penuh dengan mesej ke arah kebaikan dunia dan akhirat," katanya.

Tambahnya lagi, lagu-lagu yang terkandung dalam album berkenaan sememangnya sudah lama sebati dengan pendengar setia nasyid dari generasi ke generasi. Malah, dia percaya pendengar akan diimbau kembali bersama nostalgia irama nasyid yang menyentuh jiwa. "Apa yang paling terkesan di hati kami dengan pembikinan album ini ialah pemilihan dua lagu yang ada kaitan dengan penyanyi nasyid utama yang mendahului kita kembali ke rahmatullah.

"Kami dedikasikan lagu Nun Di Sana nyanyian asal arwah Ustaz Asri Ibrahim vokalis utama Rabbani atas ketulusan beliau memperjuang dan memartabatkan irama nasyid tanah air. "Beliau kami anggap sebagai murabbi dan sahabat yang tiada tolok gantinya. Manakala lagu Allah Is Calling pula kami dedikasikan kepada Allahyarham Azahari Ahmad yang pernah menganggotai Raihan termasuk arwah Salleh Ramli daripada kumpulan Hijjaz.

"Mereka adalah sahabat yang selama ini menjadi inspirasi dan tonggak dalam menyuburkan rasa kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Hanya Allah sahaja yang layak membalas jasa dan kebaikan mereka semua.

"Kami yang masih diberi peluang ini, akan cuba meneruskan semangat yang dibawa mereka semua. "Mudah-mudahan Allah menempatkan roh mereka bersama dengan orang yang soleh," katanya.

Selain Che Amran, kumpulan nasyid yang dikenali di peringkat antarabangsa seperti negara Asia, Eropah, Timur Tengah dan Afrika ini turut dianggotai Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza (Afad).

Album berkenaan turut menyaksikan rakaman semula God Is The Light yang pernah dirakamkan Raihan bersama Yusuf Islam (Cat Stevens) menerusi album kedua mereka, Syukur. Bagaimanapun, kali ini Raihan tampil sendirian tanpa Yusuf.

Sementara dua lagu lagi melengkapkan pembikinan album ini iaitu Musafir Kelana dan Tanpa Agama. Menariknya, album berkenaan juga dihasilkan menerusi projek kerjasama HPA Raihan. Diterbitkan Raihan Records, ia diedarkan Warner Music Malaysia dan Wahyu Suci. "Raihan menjalinkan kerjasama dengan HPA Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat yang juga bertanggungjawab mengeluarkan produk makanan dan minuman halal.

"Kelangsungan dari usaha sama itu, kami menubuhkan HPA Raihan, sekali gus menerbitkan album ini yang juga produk pertama dihasilkan menerusi label itu," katanya.

Jelas Che Amran lagi, sistem promosi album berkenaan sangat menarik. Bagi peminat yang membeli album mereka di kaunter HPA layak menerima potongan 10 peratus sekiranya membeli minyak wangi Raihan Fragrance.

Bersempena, kemunculan album berkenaan juga Raihan merancang mengadakan sebuah konsert untuk peminat dinamakan Malam Satu Mimpi. Kumpulan yang pernah membintangi filem Syukur 21 ini akan turut membuat pelbagai persembahan di Jakarta, Semarang, Perth, Sydney, Melbourne, Brisbane dan London. - Mymetro