Wednesday, March 25, 2009

Mahu Siti rakam album kerohanian

LAMA juga tidak mendengar cerita terbaru tentang penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Selepas pemergian bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail pada 15 Februari yang lalu, Siti mahu menumpukan perhatian kepada keluarganya sebelum dia kembali memulakan tugasnya sebagai seorang penghibur.

Cuma, dia hanya terlibat dalam persembahan yang berkonsepkan Islamik dan kerohanian kerana Siti pernah berkata, pembabitannya itu juga merupakan salah satu cara untuk berkabung dan mengingati arwah bapanya.

Apabila nama Siti dipilih sebagai salah seorang penyanyi undangan untuk teater muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta baru-baru ini, Papa memang teruja untuk menontonnya.

Selain daripada jalan cerita teater itu, Papa mahu mendengar juga alunan indah vokal Siti dalam mengalunkan lagu-lagu berunsurkan kerohanian ini.

Apabila mendengar nyanyian Siti, Papa hanya mampu terdiam dan terpaku kerana begitu terpesona dengan keindahan suara emas Siti melagukan lagu-lagu yang memuji kebesaran Ilahi.

Aduh, memang menusuk kalbu dan tanpa Papa sedari, impak yang terhasil daripada nyanyian Siti telah membuatkan Papa mengalirkan air mata selain ditambah dengan jalan cerita teater itu sendiri.

Papa rasa sudah tiba masanya untuk Siti merakamkan sebuah album yang mengandungi lagu-lagu kerohanian ini dan Papa percaya peminat setia Siti juga akan bersetuju dengan cadangan Papa ini. - Utusan