Tuesday, December 23, 2008

Ina Naim Enggan Datang Perkahwinan Mawi dan Ekin

Wanita yang pernah singgah dan bertakhta di hati Mawi satu ketika dulu, Nordiana Naim atau Ina Naim, 23, mengakui tidak akan menghadiri majlis perkahwinan bekas tunangnya itu dengan Ekin, sekalipun bakal diundang untuk majlis persandingan nanti.

“Terima kasihlah kerana bakal pengantin masih ingatkan saya. Tetapi rasanya saya tidak dapat datang. Lagipun kalau saya datang, macam-macam pula spekulasi yang timbul nanti. Sekarang ini pun, apa yang orang tak cakap pasal diri saya.

“Cukuplah dengan segala tohmahan yang saya terima selama ini. Sekarang lebih penting, saya kena jaga hati dan perasaan suami saya (Mohd Suhaimi Saad, bekas anggota In-Team). Saya juga kena hormati kedudukan dia sebagai suami dan ketua keluarga.

“Dia sendiri yang bagi nasihat kepada saya supaya usah dikaitkan lagi dengan Mawi. Sebab, kalau boleh, dia tidak mahu lagi melihat hati saya terluka lagi dengan segala tuduhan dan kata-kata yang dilemparkan orang terhadap saya,” katanya Ina Lagi.

Sumber : murai

Saturday, December 6, 2008

Zikir Ustaz Amal

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

DALAM kegawatan industri hiburan negara dewasa ini, tidak dinafikan ramai di kalangan penggiat seni serta para penyanyi tempatan yang kurang yakin dalam menghasilkan produk-produk terbaru mereka.

Kalau ada yang berjaya sekalipun, ia pasti didominasi oleh barisan artis yang cukup kukuh dan gah namanya di persada seni hiburan tempatan.

Namun, di sebalik kepayahan tersebut, artis-artis di bawah label Inteam Records sdn. Bhd., tetap giat mengeluarkan produk-produk terbaru mereka.

Setelah dua tahun ‘sunyi’ tanpa album baru, kini Ustaz Amal atau nama sebenarnya Amaluddin Mohd. Napiah, 40, berkongsi ‘rasa’ bersama peminatnya dengan kelahiran album terbaru, Zikir Munajat yang telah mula dipasarkan sejak akhir September lalu.

Menyifatkan alunannya dalam album tersebut tidak serupa dengan mana-mana album zikir sedia ada, Ustaz Amal mendekati pembaharuan dengan memberi sesuatu yang segar dari segi pemilihan zikir, air lagu, melodi, serta suara latar.

Penerimaan menggalakkan daripada para peminat terhadap beberapa zikir yang terkandung dalam album terdahulu iaitu Qutul Qulub yang diterbitkan pada tahun 2006, ia merupakan pendorong kepadanya menghasilkan Zikir Munajat yang mengandungi 16 buah zikir.

Antara zikir-zikir yang dimuatkan termasuk Kalimah At-Tauhid, At-Tasbih 1, At-Tahlil, Basmallah, Doa Taubat Nabi Yunus, Zikrussalam, Ya Hayyu Ya Qayyum, Doa Menghilangkan Dukacita dan Hasbiallah.

“Setelah menghasilkan lapan album, Zikir Munajat merupakan album zikir saya yang pertama. Sebelum ini saya ada juga selitkan beberapa zikir dalam album solo saya tetapi ia berselang-seli dengan lagu,” katanya.

Tidak menafikan album nasyid dan zikir tidak mengalami gangguan ketara dari segi jualan album, kata Ustaz Amal, semakin lagu nasyid menjadi lama semakin peminat suka mendengar lagu-lagu tersebut.

“Sebenarnya kalau diikutkan lagu-lagu nasyid sekali imbas memang nampak biasa sahaja kecuali mesej yang disampaikan.

“Tetapi, sesuatu yang orang ramai tidak perasan, walaupun jualan sekarang tidak begitu baik namun, jualan untuk album nasyid tetap menggalakkan dan peminat tetap mencari.

“Album-album nasyid memang ada pengikutnya yang tersendiri dan setakat ini jualan untuk album-album di bawah label Inteam Records memang menggalakkan,” kata Ustaz Amal lagi.

Kata Ustaz Amal, 3,000 unit cetakan pertama album tersebut telah pun berada di pasaran sejak akhir September lalu. Kini, albumnya sedang dicetak untuk cetakan kedua.

Manfaatkan zikir dalam program motivasi

Sebagai seorang penceramah yang banyak mengendalikan program-program motivasi, Ustaz Amal juga menggunakan peluang yang ada dalam mempromosikan album zikir tersebut kepada para pelajar yang terlibat dalam program motivasinya.

Ustaz Amal kini bukan sahaja bergerak secara solo sebagai penyanyi nasyid tetapi turut menguruskan syarikat sendiri iaitu Muazzin Production yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail serta bertanggungjawab sebagai penceramah jemputan, Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain menjadi hiburan halwa telinga, zikir juga boleh digunakan sebagai amalan menyejukkan hati serta menenangkan jiwa yang dalam kecelaruan.

“Banyak manfaatnya menggunakan zikir sebagai amalan dalam kehidupan. Selain kita gunakan untuk berhibur ia juga sebagai terapi mententeramkan fikiran.

“Saya ketengahkan ia kepada para pendengar dan pelajar sebagai satu tanggungjawab. Niat saya agar segala amalan dan zikir-zikir nabi dapat dijadikan sebagai amalan hidup bagi setiap orang,” kata Ustaz Amal sebelum mengakhiri perbualan. - Utusan

Syifa rela dibayangi Hijjaz

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

MELETAKKAN sasaran sebagai kumpulan nasyid unggul yang mampu membuat persembahan di peringkat antarabangsa seperti senior mereka, Raihan merupakan fokus jangka masa panjang bagi kumpulan nasyid yang baru bertatih mencipta nama, Syifa ini.

Kumpulan Syifa yang membawa maksud penawar itu sebenarnya bukanlah baru dalam bidang hiburan.

Hakikatnya, menjuarai pertandingan Festival Nasyid Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiga tahun lalu, umpama langkah permulaan bagi ketujuh-tujuh ahlinya mengorak langkah sebagai penyanyi nasyid berkumpulan.

Pernah muncul dengan album pertama yang diterbitkan tahun lalu, Sinar Kedamaian, kini Syifa muncul pula dengan album kedua berkonsepkan pop tradisional kreatif, Seri Hati.

Menggabungkan elemen-elemen muzik seperti inang, Arab nusantara, Banggera, pop Arab dan pop Melayu, album terbitan RBI Vision Resources itu diedarkan oleh Hijjaz Marketing And Distributors, syarikat milik kumpulan nasyid yang tidak asing lagi, Hijjaz.

Vokalis utama Syifa, Mohd. Zahidan Omar, 28, atau Zidan ketika ditemui memberitahu kumpulannya itu begitu bertuah kerana bermentorkan kumpulan Hijjaz yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik terutamanya nasyid.

“Sebenarnya, kalau kami tidak beritahu pada sesiapapun label kumpulan kami, umum pasti dapat meneka berdasarkan imej dan pembawakan Syifa hampir sama dengan imej yang dibawa oleh Hijjaz,” kata Zidan.

Malah, kopiah yang digunakan oleh kesemua ahli kumpulannya juga sama seperti kopiah yang pernah diperkenalkan oleh kumpulan Hijjaz tidak lama dahulu. Bezanya, kopiah yang digunakan oleh Syifa diperolehi dari Bangladesh.

Diacukan persoalan mengenai imej mereka yang seakan meniru penampilan Hijjaz, kata Zidan kumpulannya perlu menggunakan nama Hijjaz untuk membolehkan mereka dikenali umum bagi memudahkan langkah mereka bertapak di persada seni.

“Memang kami gunakan nama Hijjaz untuk lebih dikenali ramai. Sebab rasanya kami perlu tumpang populariti ‘otai’ kami untuk naikkan nama Syifa dan memperkenalkan diri.

“Hijjaz adalah mentor kami dan kami rasa tidak ada masalah mengikut langkah mentor kami tambahan pula Syifa sendiri memang meminati Hijjaz sejak dahulu lagi.

“Tak sangka pula sekarang kami boleh bekerjasama dengan kumpulan Hijjaz dalam menghasilkan album,” kata Zidan lagi.

Enam anggota Syifa yang lain ialah Izat, 37, Afnan, 29, Azwan, 30, Din, 27, Nass, 26, dan Samry, 31 di mana kesemuanya merupakan petugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menariknya, kebanyakan lagu yang terkandung dalam album Seri Hati merupakan air tangan anggota Hijjaz yang masing-masing berpengalaman luas melahirkan lagu-lagu berunsur Islamik.

Antanya ialah Seri Hati dan Cuba Renungkan ciptaan Isman Isam, Syafuna Ya Rasullah (Munif Ahmad), Hukum Hakam (AbaiOs), dan tiga lagu ciptaan Ariffin Rahim iaitu Pasti Berpunca, Mentari Hidup serta Milik Mu selamanya.

Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album tersebut ialah Jalan Pulang ciptaan Saiful dari kumpulan Mestica, Keluarga Bayangan Syurga (Fadzli-FarEast) dan Nikmat Kurnia ciptaan Frizdan. - Utusan