Sunday, June 24, 2007

Amy Search di Tanah Suci

SINGGAH di kediaman baru penyanyi Amy Search di Villa Damansara, wangi setanggi menyemarak ke rongga hidung. Saat jarum jam sudah menjengah ke angka 8.40 malam, alunan bacaan al-Quran beralun lembut dari sisi radio yang terhias cantik di ruang tamu menyambut tiba tetamu.

“Ini bukan bau setanggi, ini bau haruman Hajarul Aswad,’’ kata Norish seraya mempersilakan kami duduk di sofa.

Amy dan Norish bersama empat saudara yang lain baru pulang daripada mengerjakan umrah di Mekah.

Kemudian Amy muncul dengan anak lelakinya Xander dan menceritakan pengalamannya di Mekah. Selama dua minggu, Amy melakukan sesi umrah sebanyak enam kali, sementara isterinya sebanyak lapan kali.

Banyak pengalaman indah lagi berharga sepanjang empat hari di Madinah dan 10 hari di Mekah.

Orang kata, rockers biasanya berjiwa keras dan kasar, tetapi itu bagi yang tidak mengenali siapa Amy secara luar dan dalamnya. Amy bukan hanya seorang rockers yang cemerlang, tetapi pancaran aura seorang ayah dan suami yang baik.

Dia bercakap dengan bahasa yang lemah lembut, hormati orang lain dan berbudi orangnya. Dalam pertemuan itu, Amy menyatakan kerinduan untuk ke Tanah Suci lagi jika diberi rezeki.

*Pemberian Tuhan

Kepada Amy mengerjakan umrah adalah anugerah yang tidak ternilai. Meskipun beberapa kali tertangguh, akhirnya dia kembali mengadu kepada Yang Maha Kuasa untuk mendapatkan peluang mengerjakan umrah pada Jun ini.

“Memang mulanya sedih sangat bila dua kali tertangguh. Ada masalah visa, ada masalah masa yang membuatkan kami terbantut untuk pergi lebih awal.

“Saya memohon supaya Allah sampaikanlah hajat saya kali ini. Alhamdulillah akhirnya kami berangkat juga dan selamat kembali tiga hari lalu,” kata Amy.

Berkongsi pengalamannya, setelah 25 tahun melibatkan diri kepada dunia seni, di Tanah Suci menurut Amy, adalah ketenangan dan kedamaian yang sama sekali berbeza.

Dia sudah lama mengidamkan saat-saat ini. Tatkala berada di Mekah dan Madinah, hati tiba-tiba luluh. Dia ingat kepada Allah dan Rasulullah, perjuangan sahabat-sahabat dan kemurnian Islam.

“Saya dan isteri tidak berfikir lain selain dari ibadat, sebab bukan mudah untuk datang ke sana lagi,” tegas Amy.

Katanya, mereka datang dari jauh, berpisah dengan keluarga, anak-anak untuk menziarah dan beribadat di Tanah Suci.

Masjid Nabawi yang punya tarikan tersendiri, menjadikan masa lapang Amy tidak di bilik penginapan. Setiap solatnya di masjid yang dijanjikan pahala seribu kali berbanding masjid-masjid lain selain Masjidilharam itu.

Begitu juga ketika di Mekah. Amy berusaha sedaya mungkin berada di saf hadapan pada setiap kali solat, berdepan dengan Kaabah.

“Keindahan yang tidak boleh diceritakan kepada sesiapa sahaja. Selepas sembahyang, mengucup Hajarul Aswad, memang momen paling bahagia dalam kehidupan seorang manusia,’’ kata Amy lagi.

*Doa di Raudah

Peluang beribadat di Raudah, yang terletak berhampiran dengan makam Rasulullah s.a.w. Amy sempat menitipkan doa indah. Yang dipinta sebaik pulang ke Malaysia hatinya kekal dengan kasih dan sayang, cinta yang sarat kepada kebaikan.

“Biarlah rasa cinta ini selama-lamanya. Doa saya supaya jangan tutup pintu hati kepada Allah. Jangan malas sembahyang, jangan malas buat kebaikan. Juga kepada anak-anak semoga punya masa depan yang indah,” katanya.

Rockers terkenal ini juga tidak dilupakan bagi menitipkan doa kesejahteraan dan murah rezeki untuk seluruh peminat yang selama ini mengangkat dirinya ke tahap sekarang.

Sebagai penyanyi, Amy percaya apa yang dikecapi hari ini adalah dengan sokongan dan dorongan peminatnya.

“Entah mengapa ketika di sana, saya menjadi semakin sentimental mengenangkan pengorbanan peminat-peminat selama ini,” ujarnya. Justeru selama di sana, dia tidak putus turut mendoakan semua peminat di tanah air yang selama ini menjadi pendorong.

Biarlah mereka juga dibuka pintu rezeki untuk sama-sama ke Tanah Suci dan melakukan ibadat sebaik mungkin di sana suatu masa nanti.

Apa yang paling puas kepada Amy ialah melalui wang yang diterima hasil titik peluh menyanyi selama ini, dia diterima sebagai tetamu Allah di Tanah Suci.

Kata Amy, mungkin kerana dia rockers, ada yang menyangka dia tidak ingat Tuhan. Sebab itu ada yang hairan bila mendapat tahu Amy mahu ke Mekah.

“Saya sendiri pelik kenapa ada tanggapan sebegitu sedangkan kita sebagai manusia adalah sama saja,” tegas Amy.

Bagi Amy, persepsi bahawa orang seni mungkin tak ingat Tuhan adalah silap sebab apabila dia dipilih sebagai tetamu Allah, itu tuah dan rezekinya.

*Menyesal tak bawa anak

Sepanjang berada di Tanah Suci, kedua- dua anak kecilnya, Xander dan Sonia dijaga oleh ibu mentua Amy. Meskipun begitu kata Norish, sesampai saja di sana, hatinya kesal kerana meninggalkan dua anak itu dan tidak membawa bersama-samanya.

Norish yang bertudung semenjak April lalu juga berhadapan dengan pelbagai pengalaman indah sepanjang di Tanah Suci.

“Melihat jemaah lain mengendong anak kecil ada yang lebih kecil daripada Sonia, saya menyesal tidak membawa mereka bersama. Lain kali kalau diizinkan lagi ke sana, insya-Allah kami akan membawa anak-anak bersama,’’ katanya.

Melihat pengalaman wanita dari negara lain yang membawa anak-anak masing-masing, Norish merasakan bukan sesuatu yang terlalu sukar untuk mereka menjaga anak sendiri sepanjang beribadat di Mekah.

*Semoga Yayasan Isabella jadi realiti

Ada satu perkara yang belum menjengah menjadi realiti. Amy berhasrat semoga suatu hari nanti cita-cita untuk menubuhkan badan kebajikan atas nama Yayasan Isabella akan menjadi kenyataan.

“Itu akan menjadi komitmen saya kepada masyarakat. Kerana mereka mengangkat saya, mereka mengangkat Search sampai masanya untuk kami mengembalikan semula segala-galanya kepada mereka pula.

Kisah Pertunangan Suhaimi & Ina

MASIH terselit sedikit kebimbangan di hatinya meskipun lamaran cintanya diterima baik oleh si gadis sejak lebih dua minggu lalu. Merendah diri mengatakan dia tidak sepopular tunangannya, Nordiana Mohd Naim atau Ina, bekas vokalis In-team, Mohd Suhaimi Saad berdoa perjalanan ikatan cinta mereka diberkati Tuhan.

Mula berkenalan sejak Februari lalu, cuma awal Jun lalu mereka berdua mula serius membincangkan soal hati. Namun, tidak banyak yang diluahkan kerana masing-masing malu untuk menyatakan hasrat hati.

Akur biarpun dia sudah lebih tujuh tahun menjalani kehidupan sebagai anak seni dan masak benar dengan segala sepak terajang industri hiburan, pertunangan dengan Ina seakan mengheret pemuda berusia 27 tahun itu dalam satu episod baru yang tidak pernah diduganya.

Tipu jika hatinya tidak terhiris dengan apa yang diperkatakan oleh sesetengah pihak yang kurang senang apabila hatinya terpaut dengan bekas tunangan penyanyi lelaki popular, Mawi. Tetapi apabila melihat kekuatan serta kekentalan tunangannya yang pernah berdepan dengan dugaan yang lebih berat, dia memperoleh semangat baru.

“Orang boleh membuat apa saja tafsiran, berkata mengikut sesedap rasa mereka namun saya tidak akan sesekali marah. Biarlah... Mereka berhak untuk bercakap apa saja.

“Sedangkan hanya kami yang mengetahui apa yang tersirat dalam hati sanubari kami. Kami tahu apa yang kami buat ini tidak salah dan berharap dapat bertahan mengharungi cabaran itu,” katanya.

Jujur kata pemuda kelahiran Triang, Pahang itu, sejak bergelar tunangan Ina hatinya sesekali terusik terutama apabila peristiwa pahit yang pernah menimpa bakal isterinya kembali diungkit.

Tiada apa yang mampu dilakukan kecuali bersabar dan berdoa semoga mereka berdua terus diberi kekuatan untuk menepis kata nista yang menghiris perasaan.

“Sebagai tunang saya tersentuh juga apabila sejarah Ina dan bekas tunangannya kembali diperkatakan. Tetapi, kami sama-sama ikhlas dalam perhubungan ini dan apa saja yang berlaku selepas ini, kami akan harunginya bersama.

“Ada yang bercakap mengapa terlalu pantas Ina mencari pengganti? Percayalah saya tidak akan mempersiakan kepercayaan yang diberikan Ina dan saya ikhlas menerima kelebihan serta kekurangannya,” kata Suhaimi.

Dibandingkan dengan Mawi yang sedang mengecap kemewahan kesan populariti yang diciptanya, Suhaimi berkata, dia tidak mempunyai apa-apa. Bekalannya hanya sekeping hati yang ikhlas dan jujur untuk mengubat duka Ina yang masih belum sembuh sepenuhnya. Kasih sayangnya terhadap gadis itu terbit dari hati.

“Jika kita ikhlas, biarpun ada yang tidak menyenangi hubungan kami berdua, Insya-Allah Tuhan akan melorongkan niat suci ini. Saya menerima Ina kerana dirinya, bukan disebabkan kasihan apabila dia ditinggalkan atau kerana populariti yang dimilikinya. Dia memiliki hati yang tulus dan paling membuatkan saya kagum, dia mempunyai semangat yang kuat untuk menentang apa saja dugaan,” katanya.

Tanpa berselindung kata Suhaimi, dia tidak mampu menghalang orang ramai daripada terus mengaitkan Ina dengan Mawi. Nama itu sudah sinonim di bibir ramai sejak Mawi mencipta nama tiga tahun lalu.

Baginya, apabila tiba masa nostalgia pedih yang pernah menimpa Ina itu akan hilang ditelan waktu dan sinar kebahagiaan mula bertandang dalam kehidupan mereka berdua.

“Ina sendiri cakap dia ingin melupakan semua yang berlaku dulu. Kami ingin sama-sama mulakan cerita dan hidup baru. Saya juga menerima kehadiran Ina seadanya,” katanya yang baru dua bulan bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah di Kuantan.

INFO:


PASANGAN ini mengikat tali pertunangan pada 6 Jun lalu selepas empat bulan berkenalan. Ina mula mengenali jejaka itu sejak mereka berdua bernaung di bawah bumbung Hijjaz Records Sdn Bhd.


BIBIT cinta antara mereka mula bertunas apabila mengadakan persembahan bersama di Pasir Gudang, Johor. Ina yang masih fobia dengan peristiwa putus tunang digerakkan Tuhan untuk membuka hatinya dan menerima kehadiran Suhaimi sebagai bakal suami.


KATA Ina, pada mulanya, rombongan keluarga Suhaimi menziarahi keluarganya sekadar untuk berkenalan dan merisik. Bagaimanapun, saat akhir ia bertukar menjadi majlis pertunangan.


INA yang putus tunang dengan Mawi hampir 11 bulan lalu berkata, hatinya terpikat dengan jejaka itu kerana Suhaimi mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan mampu membimbingnya menjadi isteri solehah.


MAJLIS pertunangan yang sederhana itu menyaksikan keluarga Suhaimi

menyerahkan dua bentuk cincin merisik dan bertunang berserta lima dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang. Mereka sepakat menetapkan RM10,000 serba satu sebagai wang hantaran. Majlis pernikahan mereka akan dilangsungkan akhir tahun ini.

Wednesday, June 20, 2007

Nazrey antara album dan motivasi


SEJAK menganggotai kumpulan Raihan pada tahun 1997, Nazrey Johani hanya menumpukan perhatiannya terhadap bidang nyanyian semata-mata.

Bagaimanapun selepas keluar daripada Raihan pada tahun lalu, penyanyi yang berasal dari Ranau, Sabah ini mula berjinak-jinak dalam bidang motivasi.

Selain bergelar penyanyi solo, Nazrey juga kini dikenali sebagai motivator bebas dan banyak berceramah di merata-rata tempat.

Menurut penyanyi berusia 36 tahun ini, dia mengambil peluang mempromosikan album solo pertamanya berjudul Syahadah semasa mengadakan program tersebut.

“Cara ini amat bagus kerana saya dapat bertemu terus dengan para peminat saya. Walaupun cara ini dianggap promosi untuk traditional market (pasaran tradisional) tetapi ia berkesan.

“Melalui cara itu, saya dapat menjual terus album saya kepada mereka (peminat),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program Sembang-Sembang Bersama 2 Otai di kilang Shin Etsu, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada program motivasi untuk para pekerja kilang elektronik tersebut, Nazrey bersama bekas vokalis kumpulan rock D’Riyadh iaitu Akhil Hayy turut sama menjayakannya.

Syahadah yang diterbitkan oleh Inteam Records itu memuatkan 10 lagu ciptaan Nazrey dan sudah berada di pasaran sejak 7 Jun lalu menampilkan konsep irama nasyid universal.

“Konsep irama yang saya ketengahkan ini berbeza dengan konsep muzik Raihan yang lebih ke arah nasyid kontemporari.

“Selain itu, saya turut berduet dengan Akhil menerusi lagu Suara Hidayah. Ini sebagai satu tarikan untuk menarik lebih ramai pendengar.

“Apatah lagi saya dan Akhil masing-masing mempunyai peminat yang tersendiri,” ujarnya yang memeluk Islam pada tahun 1983 .

Akhil Hayy yang ditemui selepas mengadakan program motivasi tersebut berbangga apabila diberi peluang berduet dengan penyanyi nasyid tersohor itu.

Jelasnya melalui peluang itu, dia dapat menambah bilangan peminatnya selain berganding bahu menjayakan program-program motivasi pada masa depan.

“Kebetulan saya juga salah seorang peminat Nazrey. Apabila Nazrey menjemput saya berduet saya menerimanya dengan gembira.

“Ini kerana, kini saya bersama Nazrey menjayakan program-program motivasi seperti ini sambil mempromosikan album masing-masing,” katanya yang baru muncul dengan album solo pada hujung tahun lalu.

Selepas memberi motivasi yang dipengerusikan oleh Pegawai Keselamatan Kanan Shin Etsu, Mohd. Sani Hassan, Nazrey dan Akhil turut berduet menyanyikan lagu Suara Hidayah.
(Utusan Malaysia 16 Jun 2007
30 Jamadil Awal 1428)